PASUKAN Liga Premier, Kuching City berjanji tidak akan memberi laluan mudah kepada Terengganu FC (TFC)  walaupun turun sebagai ‘underdog’ untuk aksi suku akhir Piala FA, Sabtu ini.

Pengendali skuad The Cats, Irfan Bakti Abu Salim (gambar), berkata, anak-anak buahnya sebaliknya bersedia menghadirkan elemen kejutan TFC di hadapan ribuan penyokong hitam putih.

Menurut jurulatih berpengalaman itu, barisan pemainnya juga dituntut bersedia sekiranya perlawanan berlanjutan ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti.

“Apabila bertemu pasukan Liga Super, sudah tentu kami akan dilabel ‘underdog’ tambahan pula Terengganu antara pasukan terbaik Liga Super. Namun Kuching City tidak akan lawan habis-habisan.

Di peringkat kalah mati, setiap pasukan ada peluang seimbang dan saya sudah mengingatkan pemain-pemain agar tidak terlalu menghormati pasukan lawan selain percaya dengan kemampuan diri.

“Walaupun moral agak terjejas selepas tewas dalam aksi liga sebelum ini, kami akan cuba bangkit dan mengatasi Terengganu di tempat mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN pada Khamis.

Persiapan Irfan Bakti menghadapi bekas pasukannya itu bagaimanapun terganggu dengan ketiadaan ketua pasukan, Joseph Kallang Tie, yang terpaksa diketepikan gara-gara kecederaan paha.

Jelasnya, gandingan penyerang import, Abu Kamara dan Gabryel Monteiro Andrade diharap dapat menjalankan tugas merobek pintu gol untuk membawa The Cats ke separuh akhir.