HAJAT Perak FC meneruskan kesinambungan kemenangan terbantut apabila tewas 2-0 kepada PDRM FC dalam aksi tunggal Liga Premier di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras malam ini.

Turun dengan keazaman meraih kemenangan, Perak menurunkannya kesemua tiga pemain import, Stipe Plazibat, Luciano Guaycochea dan Sunday Kolawole Afolabi dalam kesebelasan utama.

The Bos Gaurus yang mendapat sokongan padu ‘Pemain ke-12’ bermula baik tetapi kawalan ketat pertahanan tuan rumah menyukarkan pergerakan termasuk peluang keemasan Wan Zack Haikal tapi sempat diselamatkan pertahanan di babak pertama.

PDRM turut menguji gawang pelawat namun tandukan lemah Martin Adamec mudah terus ke dakapan Zamir Selamat.

Bersambung babak kedua, beberapa pertukaran pemain dilakukan oleh jurulatih The Cops, Wan Rohaimi Wan Ismail bagi menambah sengat di barisan hadapan.

Percaturan itu berhasil apabila Azmi Muslim menjaringkan gol m-62 untuk mendiamkan seketika penyokong Seladang yang lebih ramai berbanding tuan rumah !

Tersentak gol itu, Yusri Che Lah bingkas memasukkan dua pertukaran serentak, Indra Putra Mahayuddin dan Hakimi Mat Isa.

Sebaliknya, bekas juara Liga Premier 2014 menambah gol menemui debut sentuhan jaringan Milos Lacny m-80 dan kedudukan kekal hingga tiupan wisel penamat.

Kekalahan itu memastikan Perak masih kekal di dasar liga dan gagal mengutip sebarang mata selepas beraksi 11 perlawanan.