NEGERI Sembilan FC yang sedang aktif dalam proses merekrut pemain telah berhasil mendapatkan dua pemain tempatan dari skuad PDRM FC untuk bergabung dengan mereka menjelang musim bola sepak 2024-2025.

Alifh Aiman Rosman, yang sebelum ini berbincang dengan FLASH SUKAN mengenai status perpindahannya ke Negeri Sembilan, kini telah mencapai kesepakatan untuk menjadi sebahagian daripada skuad Jang.

Pemain berusia 25 tahun itu menyatakan impiannya agar dapat membantu skuad Negeri Sembilan di saingan Liga Malaysia sekali gus menonjolkan kemahirannya di hadapan penyokong.

Alifh turut bersama dalam membantu skuad PDRM menjulang trofi Piala Cabaran MFL musim lalu.

“Saya akan berikan sehabis baik bersama mereka, saya juga akan membuka mata orang luar tentang kebolehan saya.

“Harapan saya juga agar kami dapat mencapai satu era baharu. Mungkin jika tidak dapat memenangi piala, tetapi dapat menamatkan saingan di kedudukan nombor lima sudah baik,” ujar Alifh kepada FLASH SUKAN.

Selain Alifh, Negeri Sembilan juga mengambil seorang lagi bekas pemain PDRM, Izaffiq Ruzi.

Izaffiq kembali ke skuad Jang untuk saingan bola sepak musim 2024-2025.

Pemain kelahiran Pulau Pinang ini merupakan seorang bek kiri yang berpengalaman, dengan sumbangannya membantu Negeri Sembilan FC mencapai tempat keempat dalam liga pada musim 2022.

Kehadirannya dijangka akan memberikan kelebihan kepada Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super 2024, terutama dalam posisi bek kiri.

Sebelum ini, Izaffiq pernah mewakili pasukan Malaysia B-19 dan bermain untuk Johor Darul Ta’zim FC II dan Kelantan FC, menunjukkan pengalaman dan kemahirannya dalam arena bola sepak tempatan.

Diharapkan kehadiran Izaffiq dapat menguatkan pertahanan Negeri Sembilan FC dan memberi impak positif kepada pasukan dalam saingan musim ini.

Artikel Berkaitan: Alifh Aiman masih menunggu tawaran rasmi The Jangs