NEGERI Sembilan FC bangkit selepas kekalahan besar sebelum ini untuk memperolehi kemenangan pertama dalam Liga Super apabila menundukkan Terengganu FC dengan jaringan 2-1.
Perubahan taktikal yang dilakukan pengendali NSFC, K Devan pada separuh masa kedua membuahkan hasil apabila gandingan dua pemain yang dibawa masuk berjaya mencipta jaringan kemenangan.
Levy Madinda terlebih dahulu memberikan gol pendahuluan buat Negeri Sembilan pada minit ke-28 untuk gol pertama peribadinya sejak menyertai skuad Jang secara pinjaman daripada JDT.
Ketika perlawanan separuh masa pertama hampir ditamatkan, penyerang sensasi Thailand, Adisak Kraison menyamakan kedudukan buat Terengganu dan gol itu juga adalah gol debutnya sejak hadir dari Muangthong United.
Sikh Izhan Sikh Azman membuktikan pemilihannya ke skuad kebangsaan adalah tepat apabila sekali lagi mempamerkan aksi yang cukup cemerlang untuk menafikan beberapa percubaan berbahaya dari Terengganu terutama daripada Liridon Krasniqi.
LIGA SUPER 2023
FT: Negeri Sembilan FC 2-1 Terengganu FC
⚽ Levi Madinda 28′, Casagrande 67′
⚽ Adisak Kraison 45’+2#LigaSuper2023#HobinJangHobin#PetehGanuPeteh— Flash Sukan (@FlashSukan) March 16, 2023
Devan membuat pertukaran pada minit ke-65 dengan memasukkan bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri dan Tommy Mawat untuk menambah sengat barisan serangan dan pertukaran ini nyata membuahkan hasil.
Gerakan dari dua pemain ini berjaya mencari Casagrande yang mudah menolak masuk ke gawang Terengganu untuk memberikan kelebihan kepada Negeri Sembilan sekaligus menggembirakan 3,202 penyokong yang hadir ke stadium.
Shahrel Fikri mempunyai peluang keemasan untuk kembali mencetak jaringan pada minit ke-88 tetapi dihampakan palang gol namun dia membuktikan dirinya masih relevant dalam pasukan.
Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan walaupun pengadil memberikan tujuh minit tambahan masa untuk memberikan kemenangan pertama buat Negeri Sembilan dan kekalahan ketiga buat Terengganu FC.