JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang menjadi harapan membawa pulang pingat emas Olimpik pertama negara di Paris, terpaksa mengambil ubat tambahan bagi menjaga jantungnya.

Pengarah teknikal sukan berbasikal negara John Beasley berkata, pelumba yang terkenal dengan panggilan The Pocket Rocketman itu, mula mengambil ubat perikaditis sejak beberapa minggu lalu, bagi mengawal keradangan perikardium jantungnya.

Justeru, situasi semasa Azizulhasni pada kejohanan Piala Negara Trek UCI di Adelaide yang bermula Jumaat ini, akan dipantau rapi Beasley.

Pengarah Teknikal berbasikal trek kebangsaan, John Beasley sahkan Datuk Azizulhasni Awang perlu dipantau pada aksi Piala Negara-Negara UCI, di Adelaide, Austria Jumaat ini.

Berdasarkan carian di laman web, Perikarditis adalah keradangan yang berlaku pada perikardium, yang boleh menyebabkan cecair berkumpul di dalam karung perikardium.

Cecair yang berlebihan itu boleh mengakibatkan tamponad kardium dengan menghalang jantung daripada berdegup dengan betul atau menekan pembuluh jantung secara fizikal.

Bagaimanapun, Beasley memberitahu, situasi dihadapi Azizulhasni bukan keadaan yang serius namun jika tidak dipantau ia boleh membawa kepada tahap yang lebih serius.

Datuk Azizulhasni Awang menjalani pembedahan jantung terbuka pada 2022.

“Pada mulanya, kami menyangka ia adalah kesan dari virus yang dialaminya sebelum ini.

“Tapi selepas saya membawanya menyertai perlumbaan minggu lalu, dia mengalami sakit dan sesak di dada. Dia tidak berada dalam keadaan yang baik selepas perlumbaan itu.

“Azizul kemudian menjalani pemeriksaan lanjut berhubung keadaannya itu,” katanya.

Merujuk kepada keadaan itu, Beasley berkata beliau belum pasti sama ada Azizulhasni akan beraksi dalam acara pecut individu di Adelaide kerana keutamaannya ketika ini adalah mengukuhkan mata kelayakan Olimpik Paris dalam keirin.

“Tidak pasti (untuk acara pecut) kerana dia masih belum 100 peratus pulih akibat perikarditis.

“Ubat yang dia ambil menyebabkan sedikit gangguan kondisi badan. Perancangannya adalah untuk acara keirin dahulu dan kemudian kita lihat bagaimana reaksi tubuhnya,” katanya.

Pada 2022, Azizulhasni menjalani pembedahan jantung terbuka selepas disahkan mengalami masalah jantung yang jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) sejak kecil.

Dia menghabiskan sebahagian besar untuk musim 2022 menjalani rawatan pemulihan dan kembali semula tahun lalu dengan memenangi emas berganda di Kejohanan Asia di Nilai (Jun).

Kita berharap agar kondisi Azizulhasni bertambah baik sekali gus dapat beraksi dengan cemerlang di Olimpik Paris nanti.