ACARA berbasikal trek Sukan Olimpik Paris hanya akan memulakan aksi pada Isnin ini, namun bahangnya kian terasa apabila ramalan acara kemuncak, Keirin lelaki mula menjadi bahan bualan.

Menurut cyclingnews.com, acara keirin yang akan bermula 10 dan 11 Ogos itu, membabitkan 33 pelumba dari 19 negara.

Menurut portal berita berkaitan basikal itu, pelumba negara, Datuk Azizulhasni Awang dinamakan antara enam pesaing bagi merebut pingat emas di Veledrom de Saint Quentin en Yvelines.

“Selepas memenangi pingat perak di Olimpik Tokyo, Azizulhasni akan mewakili Malaysia mencabar pingat emas kali ini.

“Dia akan dicabar juara dunia tiga kali, Harrie Levreysen yang mengetuai pasukan Belanda bersama Jeffrey Hoogland.

“Pada Temasya Tokyo, Levreyseon meraih gangsa, namun berdasarkan prestasinya, dia dijangka berada di tahap terbaik untuk memenangi pingat emas,” petik cyclingnews.com.

Harrie Levreysen dari Belanda mempunyai rekod pencapaian cemerlang sejam memenangi dua pingat emas dan satu gangsa di Olimpik Tokyo.

Selain itu, dua pelumba Great Britain, Jack Carlin dan Hamish Turnbull, Jair Tjon en Fa (Suriname), Mathew Glaetzer (Australia) dan juara dunia baharu, Kevin Quintero (Colombia) turut dinamakan antara pencabar pingat emas keirin di Paris.

Begitupun, pemenang tempat kedua dan ketiga kejuaraan dunia lalu, Matthew Richardson (Australia) dan Shiinji Nakano (Jepun) turut dijangka mampu membawa pulang pingat.

Jack Carlin memenangi pingat perak pecut berpasukan dan gangsa pecut individu di Olimpik Tokyo.

Bagi acara keirin lelaki, hanya Australia, Jerman dan Jepun akan diwakili tiga pelumba, manakala Kanada, Colombia, Perancis, Great Britain, Malaysia, Belanda, China, dan Trinadan and Tobago diwakili dua pelumba.

Sebelum ini, menerusi hantaran di akaun Facebook peribadi, Azizulhasni menyuarakan yang dia sudah bersedia mengharungi cabaran di Paris, selepas sebulan menjalani latihan fasa akhir di Mallorca, Sepanyol.

Latihan fasa akhir di Mallorca disifatkan sebagai persiapan sempurna buat Datuk Azizulhasni Awang.

“Saya tidak mengalami masalah dalam persiapan ini dan sangat gembira dengan kemajuan,” kata Azizulhasni.

Untuk rekod, The Pocket Rocketman memenangi pingat gangsa pada Temsya Rio 2016 sebelum meraih perak di Tokyo 2020.

Jaguh trek negara itu akan memulakan aksi dalam acara pecut individu pada 7 Ogos ini bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom, sebelum menyambung aksi dalam acara keirin tiga hari kemudian.