DATUK Azizulhasni Awang melepaskan peluang untuk menambah pingat gangsa, apabila terpaksa menarik diri daripada perlumbaan penentuan tempat ketiga acara pecut di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berlangsung di Adelaide, Australia hari ini.

Impiannya menambah pingat di Adelaide Super-Drome tidak kesampaian, apabila mengalami gelaja perikarditis selepas saingan separuh akhir.

“Dukacita saya mengumumkan bahawa saya terpaksa menarik diri daripada perlumbaan pingat gangsa acara pecut individu kerana mengalami gejala perikarditis selepas perlumbaan separuh akhir.

“Saya bertemu dengan doktor dan dinasihatkan untuk menarik diri daripada perlumbaan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada memberi tekanan kepada jantung saya,” ujar Azizulhasni menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Perkongsian Datuk Azizulhasni Awang mengenai situasinya yang terpaksa menarik diri dari perlawnaan penentuan pingat gangsa acara pecut individu, Piala Negara-Negara UCI di Adelaide, Australia.

Pelumba berusia 36 tahun itu bagaimanapun tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhannya pada kejohanan kali ini yang menyaksikan dia berjaya merangkul pingat emas dalam acara keirin, semalam.

“Di sebalik cabaran yang saya lalui, ia adalah hari yang produktif selepas perlumbaan keirin semalam dan saya memberikan yang terbaik dalam acara pecut hari ini.

“Saya berterima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua orang, dan saya memohon maaf kerana tidak dapat menyempurnakan perlumbaan.

“Kini, tumpuan saya adalah pada pemulihan, dan saya akan menyambung semula latihan sebaik sahaja saya cergas semula. Terima kasih semua atas pemahaman dan dorongan anda,” katanya.

Azizulhasni memulakan aksi acara percut dengan cemerlang, mencatat masa keempat terpantas 9.656 saat (s) di pusingan kelayakan dan tidak perlu beraksi dan terus ke pusingan kedua.

Datuk Azizulhasni Awang sudah menbyumbang satu emas menerusi acara keirin pada perlumbaan di kejohanan Piala Negara-Negara UCI, semalam. | Foto John Beasley

Pada aksi pusingan kedua, dia tidak berdepan masalah mengatasi Cristian Ortega dari Colombia sebelum menewaskan jaguh Great Britain, Jack Carlin 2-0 di suku akhir.

Bagaimanapun, dia terpaksa akur dengan kehebatan pelumba Australia, Matthew Richardson apabila tumpas 2-0 di separuh akhir sebelum dia memutuskan menarik diri daripada aksi penentuan pingat gangsa menentang seorang pelumba Australia, Matthew Glaetzer.

Semalam, Azizulhasni membuktikan tiada apa yang mampu menghalangnya biarpun dibelenggu masalah kesihatan berkaitan jantungnya apabila berjaya meraih emas acara keirin, mengatasi pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota yang masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.

Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley sebelum ini berkongsi bahawa penyertaan Azizulhasni di Adelaide akan dipantau selepas pelumba itu perlu mengambil ubat perikarditis – ubatan yang berkaitan dengan masalah jantungnya sejak beberapa minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN : The Pocket Rocketman menang keirin Piala Negara-Negara Adelaide

Azizulhasni menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022, susulan disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne.

Sementara itu, seorang lagi pelumba lelaki negara, Shah Firdaus Sahrom terkandas di pusingan kelayakan dan gagal mara ke pusingan pertama apabila mencatat masa ke-32 terpantas (10.150s) daripada 37 pelumba.