MACAM orang tak sakit! Demikian semangat jaguh pecut berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang ketika bersahaja menamatkan perlumbaan final keirin di Siri 1, Piala Negara-Negara UCI yang berlangsung di Adelaide, Australia petang tadi.
Pemilik pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, melupakan masalah dihadapinya termasuk terkini, perlu mengambil ubat perikarditis ketika muncul pemenang pingat emas acara terbabit.
Pada final berlangsung di The Adelaide Super-Drome itu, Azizulhasni mempamerkan kayuhan kegemarannya apabila mengerah segala kudrat pada pusingan terakhir ketika melintasi garisan penamat biarpun sepanjang pecutan, dikuasai Jack Carlin (Great Britain) dan Matthew Richardson (Australia).
Menjadikan perlumbaan itu lebih menarik apabila Jack dan juga Mathew turut dipintas dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota yang mengekor rapat Azizulhasni, untuk masing-masing meraih perak dan gangsa.
Bekas juara dunia 2017 itu mempamerkan kayuhan cemerlang sejak pusingan pertama, apabila muncul juara saringan keempat mengetepikan Matthew Glaetzer (Australia), Matej Bohuslavek (Republik Czech), Yuta Obara (Jepun) dan Andrey Chugay (Kazakhstan).
Pada separuh akhir pula, The Pocket Rocketman itu menempatkan diri dalam kalangan tiga pelumba terbaik bersama Richardson dan Xue Chenxi (China) untuk menempah tiket ke final.
Kejayaan Azizulhasni yang juga terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu mengukuhkan lagi kedudukannya dalam kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebelum ini Pengarah teknikal sukan berbasikal negara, John Beasley mendedahkan Azizulhasni kini perlu mengambil ubat perikarditis yang berkaitan dengan salur jantungnya sejak beberapa minggu lalu.
Perikarditis adalah keradangan pada perikardium yang boleh menyebabkan cecair berkumpul di dalam karung perikardium.
Cecair yang berlebihan itu boleh mengakibatkan tamponad kardium hingga menghalang jantung daripada berdegup dengan betul atau menekan pembuluh jantung secara fizikal.
Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Fadhil Zonis yang mewakili Team Azizul terkandas di repechage saringan pertama selepas gagal menamatkan perlumbaan akibat terbabit dalam kemalangan.
Turut beraksi hari ini ialah pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Asri dalam acara pecut namun dia terkandas di pusingan pertama selepas kalah kepada pelumba Kanada, Lauriane Genest.