SANDARAN emas di temasya Olimpik Paris 2024, Datuk Azizulhasni Awang memilih detik berkongsi podium bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom, sebagai saat terindah di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023.

Menerusi perkongsiannya menggunakan foto dirakam jurukamera FLASH SUKAN sejurus selepas menamatkan final keirin, di laman sosial Facebook dan Instagram ‘Azizulhasni Awang’ beliau memuat naik perkongsian ‘best moment’ sepanjang Kejohanan Asian Championship Nilai 2023.

“Bagi saya adalah berkongsi podium dengan rakan sepasukan saya iaitu Shah ‘The Terminator’ Firdaus @shahfirdaus95.

Muhammad Shah Firdaus terpaksa meneruskan kayuhan dalam keadaan basikalnya yang sudah rosak selepas melambung, tercampak dalam insiden perlanggaran di separuh akhir keirin ACC 2023.

“Melihatkan keadaan beliau ketika kemalangan di pusingan semi final itu memang tak boleh nak brain macam mana beliau masih boleh gigih berkayuh dengan basikal yang patah semata-mata ingin menamatkan perlumbaan.

“Bakat, saiz fizikal, disiplin dan sebagainya kita boleh cari. Akan tetapi semangat juang (fighting spirit) yang tinggi adalah sesuatu yang amat jarang untuk diketemui.

Lensa kamera jurugambar Flash Sukan menjadi pilihan Datuk Azizulhasni Awang, diabadikan dalam kenangan di Instagram dan Facebook miliknya.

“Saya harap akan lebih banyak lagi moment dan peluang untuk kami berdiri bersama-sama di atas podium, terutamanya di…?”

Tanda soal ditinggalkan Azizul itu tidak mungkin satu rahsia lagi kerana Sukan Olimpik Paris 2024 akan menjadi pentas temasya tertinggi buatnya, sebelum bersara.

Pada saingan ACC2023 di Veledrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, The Pocket Rocketman memenangi pingat emas keirin manakala Shah Firdaus menang pingat gangsa dan pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu turut memenangi pingat emas acara pecut.