JAGUH trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang hanya akan melakukan persiapan Sukan Olimpik Paris, di sekitar kepulauan di Australia sahaja untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini sebelum memulakan penjelajahan pada Mac, namun sah tidak menyertai Kejohanan Berbasikal Asia (ACC).
Pengarah teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley berkata, Melbourne menjadi destinasi terbaik buat jaguh berbasikal negara itu, melakukan persediaan untuk temasya Paris.
Malah Beasley menegaskan keputusan untuk pelumba itu kekal berlatih di Melbourne sehingga Olimpik Paris, adalah tindakan yang wajar.
“Melihat Paris akan menjadi Olimpik terakhir bagi Azizul dan selepas perbincangan yang panjang, kami memutuskan, Melbourne adalah tempat terbaik untuk dia mempersiapkan diri ke Olimpik.
“Azizul akan menjalani beberapa siri perlumbaan di sana seperti dirancang yang mana dia dijadualkan bertanding di Adelaide bulan ini,” katanya.
Justeru, beliau mengesahkan bahawa Azizulhasni tidak akan mengambil bahagian dalam ACC di New Delhi pada penghujung Februari, selepas pelumba itu memutuskan tidak beraksi di ACC.
Ujar Beasley, seorang lagi pelumba negara iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan menyertai Azizul di Melbourne dan akan bergandingan bersama di perlumbaan Piala Negara-Negara di Adelaide pada 2 Februari nanti, sebelum Shah kemudiannya akan terbang berseorangan ke India untuk beraksi di ACC.
“Begitupun, Azizulhasni akan turut mengambil bahagian di Kejohanan Kebangsaan Australia di Brisbane pada awal Mac sebelum ke Siri 2 Piala Negara-Negara di Hong Kong 15 Mac nanti.”
Sebelum ini,The Pocket Rocketman mengumumkan berita gembira kelahiran cahaya mata yang keempat yang diberi nama Amna Aseeya.
Kelahiran Aseeya yang dilahirkan sama dengan ulang tahun kelahirannya iaitu 5 Januari lalu, dilihat menjadi hadiah bermakna buat dirinya.
Azizulhasni kekal menjadi sandaran utama negara dalam usaha merealisasikan emas pertama negara di temasya terbesar itu di Paris Julai hingga Ogos hadapan.