FOTO KREDIT : AHF
SKUAD The Young Tigers wajar diberi pujian di atas usaha mereka yang berjuang sehabis baik dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada Khamis walaupun tewas menentang Korea Selatan, 1-2 di Salalah, Oman.
Pengendali pasukan, Muhamad Amin Rahim berkata walaupun sedih dengan kekalahan dalam kejohanan hoki Piala Remaja Asia 2023 yang berakhir di tempat keempat, namun pasukannya perlu bangkit dan memandang ke depan untuk ke peringkat ke seterusnya.
“Dalam masa yang sama, kita harus lontarkan pujian kepada para pemain kerana mereka telah cuba sehabis baik apatah lagi dalam tempoh satu bulan mereka terpaksa mengharungi dua kejohanan back to back iaitu Sukan Sea dan Piala Remaja Asia ini.
“Saya dapat lihat aspek-aspek kelemahan yang dilakukan dan kita akan cuba untuk perbaiki serta perbetulkan menjelang persiapan kita untuk ke Piala Dunia Remaja pada tahun ini,” katanya dalam sidang media.
Jelasnya, The Young Tigers telah memulakan kejohanan ini dengan baik apabila berjaya memenangi semua perlawanan dalam peringkat kumpulan sekali gus menjadi petanda yang baik sebagai persediaan ke kejohanan.
Perlawanan yang menyaksikan pasukan itu tewas di peringkat separuh akhir dengan pasukan Pakistan dan Korea Selatan, barisan kejurulatihan dapat kenalpasti terdapat banyak element penting serta faktor terutama dari bahagian strength dan conditioning kecergasan fizikal dan power.
Tegas Amin, aspek tersebut merupakan elemen yang penting dalam perlawanan hoki moden pada masa kini.
“Jadi para pemain belajar sesuatu melalui kejohanan ini, lihat semula kelemahan individu, kelemahan pasukan dan saya berharap mereka bersedia untuk kita memgharungi fasa yang baru dimana kita akan lebih tumpukan kepada fizikal.
“Pastinya saya akan memberi cuti yang panjang kepada pemain-pemain kerana kita mengharungi dua perlawanan back to back dalam lebih kurang dalam 10 hari namun rehat yang diberi adalah daripada hoki tetapi mereka masih lagi perlu meneruskan dari segi aspek fizikal.
“Semestinya selepas itu kita akan memberikan tumpuan sepenuhnya pada latihan fizikal kerana itu adalah yang paling ketara dilihat pada kejohanan ini dan kami juga ada merancang untuk mengadakan siri jelajah ke Eropah yang mana kita belum lagi bermain dengan pasukan Eropah,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN : The Young Tigers akhiri tempat ke-4 Piala Remaja Asia
Sehubungan itu, dia mengharapkan pasukannya dapat menggunakan masa rehat dengan secukupnya agar lebih bersedia untuk fasa seterusnya disamping membiasakan diri dengan corak permainan Eropah dalam mendepani kejohanan Piala Dunia Remaja hujung tahun ini.