KETUA pasukan Thailand, Theerathon Bunmathan berjaya meraih kaps ke-100 bersama skuad Gajah Perang ketika aksi peringkat kumpulan Piala Asia menentang Oman namun dia terpaksa membayar dengan harga yang tinggi.
Theerathon muncul pemain keenam dalam sejarah bola sepak Thailand untuk membuat penampilan ke-100 selepas beberapa pemain legenda seperti Piyapong Pue-on, Datsakorn Thonglao, Totchtawan Sripan, Teerasil Dangda dan Kiatisuk Senamuang.
Bagaimanapun, Theerathon terpaksa membayar harga yang mahal apabila terpaksa diketepikan dari skuad ‘Changsuek’ selepas menerima kad kuning kedua ketika membantu Thailand mengikat Oman tanpa jaringan dalam aksi di Stadium Abdullah Bin Khalifa.
Dia menerima kad kuning pada minit ke-53 yang juga kada kuning kedua kejohanan sekaligus terpaksa diketepikan pengendali Matasada Ishii dalam aksi penentuan menentang Arab Saudi pada Khamis di Stadium Education City.
Kad kuning pertama diperolehi Theerathon ketika aksi pembukaan menentang Republik Krygyz seawal minit kesembilan perlawanan yang menyaksikan Thailand mencatatkan kemenangan 2-0 hasil dua jaringan Supachai Jaided pada setiap babak.
Lebih dikenali sebagai Aum dikalangan rakan sepasukan dan penyokong, pemain berusia 33 tahun itu melakukan debut bersama skuad senior Thailand sejak 2010 dan berjaya menjaringkan tujuh gol dan muncul juara Piala AFF sebanyak tiga kali.
Dia juga muncul pemain Thailand pertama muncul juara Liga J1 Jepun bersama Yokohama F. Marinos pada 2019 di mana dia melakukan 25 penampilan dan berjaya menjaringkan tiga gol sekaligus melonjakkan nama dan nilainya di pasaran pemain Asia.
Thailand bakal berhadapan Arab Saudi dengan sebarang keputusan positif akan membawa mereka ke peringkat kalah mati namun tanpa kehadiran Theerathon di benteng, ianya mungkin merencatkan sedikit peluang untuk mengulangi pencapaian 2019.