JURULATIH Perancis, Thierry Henry terkejut dengan kekecohan yang berlaku antara Perancis bertemu Argentina selepas perlawanan suku akhir di Sukan Olimpik Paris 2024.

Henry mengakui tidak melihat dengan jelas bagaimana kekecohan itu bermula. Apa yang dia sedar, ketika itu dia cuba bersalaman dengan Javier Mascherano seperti kebiasaan selepas perlawanan.

“Saya mahu berjabat tangan dengan jurulatih lawan dan tiba-tiba saya melihat banyak perkara berlaku. Saya tidak suka melihat kejadian seperti ini. Perkara seperti ini (kekecohan) tidak diperlukan,” kata Thierry Henry seperti dipetik TSN.

Akibat kekecohan itu, Henry mengakui Perancis amat kerugian apabila Enzo Millot dilayangkan kad merah.

“Kami tidak mahu kehilangan seorang pemain, tetapi ia tidak ada gunanya sekarang. Dia tidak bermain pun (semasa permainan tamat dan pergaduhan berlaku).

“Saya sangat tidak suka perkara itu. Kami semua bersatu dan satu-satunya kekecewaan ialah mendapat kad merah sedangkan dia sebenarnya pemain yang sudah berada di bangku simpanan,” kata Henry.

Perlawanan Perancis dan Argentina hangat dari awal. Laungan perkauman yang diucapkan oleh Enzo Fernandez dan rakan-rakannya ketika memenangi Copa America 2024 adalah punca utama. Ketika itu Enzo dan rakan-rakannya menyindir pasukan kebangsaan Perancis yang jelas tidak mengambil bahagian dalam Copa America.

Oleh itu, apabila Perancis bertemu Argentina pada Sukan Olimpik 2024, Argentina jelas akan berada di bawah tekanan hebat daripada penonton tuan rumah. Dengan kemenangan 1-0, Perancis akan bertemu Mesir di separuh akhir.

“Kadang-kadang dalam perlawanan, pasukan menang melalui kesakitan,” kata Thierry Henry mengulas mengenai perjuangan keras pasukannya untuk menang.