PENYERANG Bayern Munich, Thomas Muller telah melanjutkan kontraknya dengan kelab itu sehingga Jun 2025.

Pemain yang kini berusia 34 tahun itu telah bersama kelab Bayern sejak berumur 10 tahun dan sejak membuat penampilan sulungnya untuk kelab pada tahun 2008, dia telah mengumpulkan 684 penampilan untuk pasukan utama, sekali gus menjadikannya di tempat kedua dalam senarai penampilan sepanjang masa Bayern.

Muller telah membantu kelab tersebut meraih 12 gelaran Bundesliga, dua Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala Super UEFA serta enam Piala DFB dan lapan Piala Super Jerman.

Di peringkat antarabangsa pula, penyerang Jerman itu telah memenangi Piala Dunia 2014 di Brazil.

Muller memberitahu laman web Bayern: “Saya gembira perjalanan saya di Bayern berterusan. Saya ingin memainkan peranan agar kami kekal berjaya, sebagai satu pasukan dan keseluruhan kelab.”

“Adalah penting bagi saya untuk menjadi asas dan membantu membimbing pasukan ke arah yang betul.”

“Saya ingin menggembirakan peminat kami dengan jaringan gol, membantu mencipta gol, cinta saya terhadap permainan, minat saya dalam bola sepak dan semoga dengan lebih banyak lagi gelaran.”

Pengarah Sukan, Christoph Freund, menambah: “Kami sangat gembira Thomas Muller akan kekal di Bayern FC untuk satu musim lagi.”

“Dia seorang pemimpin di dalam dan di luar padang, sentiasa menjadi contoh dan sangat berharga untuk seluruh pasukan. Thomas mendorong setiap pasukan dengan sikap terbuka dan positifnya di dalam dan di luar padang.”

“Cara dia bermain sangat bijak, untuk pasukan, dan dia sangat serba boleh, dia boleh bermain di mana-mana. Thomas juga hampir tidak pernah tercedera, sentiasa ada. Hanya kualiti dan kebolehpercayaan yang diwujudkan.”