JURULATIH Pasukan Hoki Terengganu (THT), Seo Jong-ho, menyifatkan pasukan itu berada pada landasan terbaik untuk mengekalkan gelaran juara Liga Hoki Malaysia (MHL).

Menurut pengendali kelahiran Korea Selatan itu, faktor pengalaman menjadi kelebihan THT bagi baki dua perlawanan menentang Nurinsafi Sporting, hari ini dan TNB pada Sabtu.

Antaranya kelibat pasangan adik-beradik, Mohd. Fitri dan Faizal Saari, Hafizuddin Othman, Marhan Jalil, Nabil Fiqri Mohd. Nor, Sukri Mutalib dan Jang Jong-hyun yang merupakan aset berharga THT.

“Mereka tahu beraksi di bawah tekanan dan peluang bermain di laman sendiri untuk baki dua perlawanan itu mahu dimanfaatkan sepenuhnya,” jelasnya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Jong-Ho berkata, kemenangan besar 10-0 ke atas UiTM kelmarin merupakan antara yang terbaik dipamerkan THT musim ini yang masih kekal dengan rekod tanpa kalah.

Selepas 12 perlawanan, THT menjadi satu-satunya pasukan dengan rekod tanpa kekalahan mengumpul 34 mata, tiga mata mengatasi TNB di kedudukan kedua.

Kemenangan ke atas Nurinsafi Sporting, hati ini bakal meletakkan THT sebelah kaki mempertahankan juara MHL dan hanya memerlukan keputusan seri ke atas TNB pada Sabtu.

“THT belum memikirkan perlawanan terakhir bertemu TNB. Apa yang penting selesaikan tugas mengalahkan Nurinsafi Sporting terlebih dahulu,” katanya.