TERENGGANU Hockey Team (THT) mahu pastikan kejuaraan trebel musim ini dengan menjulang trofi Piala TNB, pad Sabtu.
Kaptennya, Mohammad Fitri Saari berkata, beliau enggan terlepas sekali lagi Piala TNB sebagaimana terjadi pada tahun lalu.
“Kami nak rampas kembali dan menebus kekalahan tahun lepas. Kami mempunyai peluang melakar sejarah kerana sejak THT ditubuhkan kira-kira 10 tahun lalu, kami belum meraih kejuaraan trebel, kalau berjaya, kami mencipta sejarah baharu,” kata Fitri.
Begitupun, Fitri menegaskan TNB bukan calang-calang pasukan untuk dijinakkan.
“TNB sama seperti Maybank, dua pasukan ini mempunyai kekuatan seimbang dan sama kuat, tapi seperti sebelum ini, saya beritahu rakan-rakan supaya beraksi dengan permainan kita sendiri. Bukannya saya tak risaukan pasukan lawan, tetapi lebih risaukan pasukan sendiri.”
Dalam pada itu, jurulatih TNB Nor Saiful Zaini Nasiruddin, tetap mahukan satu gelaran buat pasukan itu dan enggan dikecewakan buat kali ketiga musim ini.
Sambil menekankan pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun akan terus menjadi duri dalam daging pada final nanti, beliau akan memberi penekanan kepada aspek mengelakkan pasukannya memberi terlalu banyak peluang kepada Jang.
“Kami akui Jang pemain yang sangat berpenalaman, dia tahu di mana bola harus pergi setiap kali mengambil pukulan sudut penalti. Malah THT juga mempunyai pemain yang ada kualiti dan kesedaran untuk mencapai kemenangan.
“Pemain saya pula dihimpit kecederaan jadi setiap pemain akan bermain di pelbagai posisi yang bukan kepakaran mereka,” kata Saiful.
Beliau berkata, meskipun kapten Syed Syafik Syed Cholan mengalami patah tangan pada perlawanan kelima liga, pemain terbabit dijangka diturunkan dan Saiful sudah merujuk doktor perubatan dan diberi pelepasan.
THT akan menentang TNB pada perlawanan Piala TNB esok, jam 8.30 malam di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Tahun lalu, TNB melebur impian THT yang mahukan kejuaraan Trebel selepas mengatasi lawan 3-2 pada final Piala TNB 2022.
Tahun ini, THT sekali lagi menjulang trofi Piala Sumbangsih dan juara Liga Hoki Malaysia (KHM), kini mereka mencuba lagi untuk melakukan trebel.