PASUKAN Hoki Terengganu (THT) mengekalkan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) setelah mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas TNB dalam aksi terakhir liga, petang Sabtu.
Turun selaku juara bertahan, THT bermula baik menyaksikan pukulan sudut penalti Jang Jonghyun pada minit kelima dan percubaan Syarman Mat Tee dinafikan penjaga gol pelawat.
THT bagaimanapun dikejutkan gol pertama daripada pukulan kencang penyerang TNB, Azrai Aizad Abu Kamal berpunca umpanan Mughni Mohamad Kamal pada minit ke-30.
Aksi babak kedua makin rancak apabila gerakan Marhan Mohd. Jalil dari sebelah kiri disudahkan dengan baik oleh Abdul Khaliq Hamirin untuk gol penyamaan THT lima minit selepas rehat.
Kedudukan bagaimanapun tidak kekal lama setelah Aminudin Mohd. Zain (m-42) melakukan pukulan sudut penalti sempurna dan meletakkan TNB 2-1 di depan.
THT kemudian mempamerkan kebangkitan apabila pukulan sudut penalti Jonghyun menerjah jaring pada minit ke-47 untuk terus mengimbangi permainan.
Pemain bintang Korea Selatan itu muncul wira selepas menjaringkan gol ketiga juga melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-60 dan melengkapkan kemenangan 3-2 buat THT.