MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan tidak ada istilah anak emas dalam Program Road To Gold (RTG) selepas jawatankuasa itu membuat keputusan untuk mengekalkan pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dalam program tersebut.

Hannah turut menegaskan bahawa pemain berusia 25 tahun itu akan kekal mendapat segala perkhidmatan yang diperlukan seperti yang diperuntukkan bagi atlet di bawah program terbabit.

“Kita tiada anak emas, semua anak emas dan semua atlet kita. Kita bagi elaun RM3,000 untuk yang masuk program ini. Kita berikan sokongan perkhidmatan dari Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan mereka ada peluang untuk berjaya,” katanya pada sidang media Mesyuarat RTG di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Isnin.

Sebelum ini, Zii Jia yang sudah pun terkeluar daripada ranking 10 terbaik dunia mengambil keputusan untuk berehat seketika susulan prestasi hambar yang dilakar dalam beberapa kejohanan termasuk yang terbaharu di Terbuka Indonesia.

Keputusannya itu dilihat bakal menjejaskan lagi pungutan mata untuk kedudukan rankingnya selain kemungkinan berdepan masalah kecergasan kerana tidak beraksi secara kompetitif.

Dalam sidang media yang sama, Koordinator Projek RTG, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan perubahan kriteria yang dipertimbangkan menyaksikan tiada atlet yang keluar, malah ada yang dicadangkan untuk dimasukkan dalam program RTG termasuk pasukan hoki lelaki kebangsaan.

Stuart juga mengesahkan gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan turut kekal dalam program ini selain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mencadangkan Ng Tze Yong dan Chen Tan Jie-Toh Ee Wei untuk dimasukkan dalam RTG.

“Pertimbangan dibuat mengikut teknikal berdasarkan kiraan mata untuk Olimpik dan dari segi ini, Zii Jia tidak terkeluar daripada pertimbangan ini.

“Buat masa ini, status Ziii Jia tidak berubah dan dia sebahagian daripada program RTG, tetapi kita akan mengadakan perbincangan bersamanya dan juga jurulatihnya untuk melihat perancangan mereka yang seterusnya.

“Kian Meng-Pei Jing juga kekal dalam RTG tetapi persembahan mereka akan dinilai semula pada September,” katanya.