KETUA Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berharap pasukan negara dapat mencatat  kemenangan ke atas Hong Kong yang sekaligus akan menjadi kejayaan berganda buat Malaysia.

Masih segar lagi bagi peminat bola sepak tanah air apabila menyaksikan pasukan Harimau Muda negara merangkul gelaran juara Piala Merlion 2023 selepas menewaskan skuad muda Hong Kong di Singapura pada Ahad.

Susulan kemenangan itu, ia sekaligus menjadi penambah semangat buat Pan-gon untuk turut melakar kemenangan ke atas Hong Kong menjelang aksi kedua Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, esok.

“Saya harap kami mampu lakukan kemenangan berganda ke atas Hong Kong dan menggembirakan semua penyokong Harimau Malaya yang hadir esok.

“Semua pemain sentiasa memberikan lebih daripada apa yang saya mahukan ketika latihan. Ini sangat menggembirakan saya kerana mereka menunjukkan sikap yang baik dan sentiasa bersemangat.

“Saya bersimpati kepada dua pemain yang mengalami kecederaan kerana mereka telah menunggu lama untuk beraksi dengan skuad kebangsaan. Namun saya yakin kami mempunyai pemain yang boleh menggantikan tempat mereka kerana kami bermain sebagai satu pasukan dan tidak bergantung kepada hanya individu serta kami masih kuat.

“Kami juga akan gunakan pemain yang lain kerana dengan adanya lebih persaingan dalam pasukan, ianya akan menambah lagi kualiti pasukan ini,” katanya dalam sidang media menjelang perlawanan pada Isnin.

Sementara itu, Pan-gon yang juga bekas penyelia Akademi Bola Sepak Hong Kong gembira melihat bekas anak didiknya kini berjaya layak ke Piala Asia namun untuk perlawanan pada Selasa, tidak akan ada belas kasihan kepada mereka.

Malaysia juga menurut Pan-gon akan mengekalkan permainan berdasarkan DNA Malaysia iaitu bermain bola sepak pantas dan sentiasa mengawal bola serta menekan lawan melakukan kesilapan bagi memastikan kemenangan kedua dalam tempoh satu minggu dapat dicapai.

Malaysia bakal berhadapan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa dengan rekod terakhir perlawanan antara kedua-dua pasukan menyaksikan Malaysia menang 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun 2022.