KEJOHANAN badminton Malaysia Masters melabuhkan tirainya semalam  (Ahad) dan sekali lagi tiada gelaran buat pemain negara.

Pencapaian terbaik hadir menerusi dua gandingan beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), iaitu Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki) dan Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) yang beraksi hingga ke final.

Empat beregu lelaki, masing-masing dua gandingan professional dan dua dari BAM bersaing namun hanya Wei Chong-Kai Wun berjaya meniti ranjau hingga ke final.

Bagi jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Tan Bin Shen, pemain telah mempamerkan prestasi memberangsangkan pada kejohanan Jelajah Dunia pertama yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik Paris itu.

“Untuk Aaron Chia-Soh Wooi Yik, saya tak anggap mereka tak bagus, mereka bermain dengan baik hingga ke suku akhir.

“Menentang pasangan Indonesia itu, satu saingan yang sengit tapi pemain kita kalah di beberapa aspek yang rumit,” kata Bin Shen.

Tambahnya, gandingan itu tetap berada di landasan terbaik memandangkan mata tempoh kelayakan Olimpik baru bermula.

“Bagi saya prestasi mereka masih ok kerana dari pusingan pertama, kedua hingga suku akhir, berdepan lawan yang getir kerana dalam beregu lelaki, setiap pasangan di dunia ini amat rapat tahap saingannya.

“Di suku akhir, bulu tangkis agak perlahan dan saya rasa, kita perlu naikkan tahap kecergasan dan kekuatan mereka selain beberapa aspek penting,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi Wei Chong dan Kai Wun yang terlepas gelaran pada aksi pertama mereka di kejohanan berstatus Super500.

“Jika kita lihat dari pusingan pertama, mereka berdepan lawan sukar, pemain Denmark, Scotland dan di separuh akhir pula gandingan berpengalaman Indonesia, Hendra Setiawan-Mohamad Ahsan.

“Mereka pernah juara di kejohanan Super300 dan beralih ke Super500 sekarang, satu pengalaman yang baik buat mereka.

“Saya harap mereka belajar sesuatu di kejohanan ini terutamanya di mata-mata penting yang menyebabkan mereka kalah.

“Inilah aspek utama perlu mereka perbaiki di kejohanan seterusnya,” kata Bin Shen mengenai Wei Chong-Kai Wun.

Wei Chong-Kai Wun kini berada di ranking ke-26 dunia, berbanding Aaron-Wooi Yik (2) dan satu lagi gandingan professional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (8).

“Peluang buat Wei Chong-Kai Wun layak ke Olimpik tetap ada kerana kelayakan baru bermula dan naib juara ini satu permulaan yang baik buat mereka dalm masa sama, kami mengharapkan mereka terus konsisten.

Sementara itu, jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How, pemain bimbingannya itu mempamerkan prestasi luar biasa, selepas terlepas aksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC), menjalani latihan selama lima hari sebelum terus menyertai skuad Piala Sudirman di Suzhou, China.

“Sekarang sudah mula tempoh mata kelayakan Olimpik, negara lain banyak gandingan, Jepun sampai enam pasangan, Korea Selatan dan negara lain juga banya, sedangkan kita hanya Pearly-Thinaah.

“Dari segi ketahanan… mereka bermain 1 jam setengah hingga hamper dua jam, sebelum ini tak pernah tengok pemain beraksi sampai 1 jam 50 minit.

“Saya terkejut mereka mampu bertahan, tambahan pula Pearly baharu pulih daripada influenza dan boleh bertahan sebegini.. mengejutkan,” kata Thien How, memuji semangat juang Pearly dan Thinaah.

Menurutnya, tidak mungkin gandingan itu dihenyak dengan latihan berat semata-mata mahu meningkatkan tahap kecergasan mereka menjelang saingan Terbuka Singapura (Super750).

“Saya rasa kita boleh bantu mereka mengekalkan tahap kecergasan sahaja, tidak menaikkannya kerana hanya ada tiga atau empat hari sahaja untuk mereka jalani latihan, kerana mereka juga perlukan tempoh rehat untuk pemnulihan,” kata Thien How.

Beliau merumuskan, gandingan negara kekurangan kekuatan berbanding dengan pasangan Jepun dan Korea Selatan, dan perkara itu dapat diatasi dengan menambah waktu latihan bersama pemain lelaki.