KUALA Lumpur City FC, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) akhirnya mencapai kata sepakat dalam membuat keputusan mengenai dua pemain kelab tersebut Zhafri Yahya dan Declan Lambert yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan menjelang saingan 48th King’s Cup di Chiang Mai, Thailand minggu depan.
Nama Zhafri dan Declan berada dalam senarai Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon namun dalam masa yang sama khidmat kedua-dua pemain ini juga ditagih oleh kelab untuk membuat persiapan ke final antara zon Piala AFC di Uzbekistan.
Susulan daripada itu, KL City FC telah memohon kepada MFL untuk meminda jadual dua perlawanan menentang Penang FC dan Sarawak United ke tarikh lebih awal supaya ianya tidak mengganggu persiapan mereka ke Uzbekistan dan serta jadual Piala Malaysia yang dijadualkan pada November.
Menerusi mesyuarat tiga penjuru yang berlangsung pada Khamis, keputusan bersama telah dicapai antara KL City FC dan FAM iaitu kedua-dua pemain akan tetap melaporkan diri dan mengikut skuad kebangsaan ke Chiang Mai dan akan dilepaskan sejurus tamat perlawanan kedua di Thailand pada 25 September 2022
FAM juga komited akan melepaskan semula kedua-dua tonggak ini untuk pulang ke Kuala Lumpur pada 26 September untuk menyertai latihan ke Piala AFC sejurus selasai perlawanan.
Malah MFL dengan persetujuan Penang FC dan Sarawak United akan membawa dua perlawanan Liga Super ini lebih awal.
Tarikh 24 September 2022 ditetapkan untuk menentang Penang FC di Stadium Bandaraya manakala 28 September ditentukan untuk menentang Sarawak United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Melalui persetujuan ini, Zhafri dan Declan bakal terlepas perlawanan menentang Penang FC dan akan kembali semula bersama pasukan ketika menentang Sarawak United.
Dengan perubahan jadual ini juga, jadual Piala Malaysia tidak akan terganggu sekaligus memastikan semua pasukan dan pihak yang terlibat tidak terjejas oleh perubahan jadual yang mungkin berlaku sekiranya KL layak ke final Piala AFC pada 22 Oktober 2022.
Kuala Lumpur City dijangka berlepas ke Uzbekistan pada 30 September atau 1 Oktober 2022 bergantung kepada jadual penerbangan ke sana dan pihak KL City mengucapkan terima kasih kepada FAM dan MFL serta semua pemegang taruh kerana bersetuju dengan usul yang dibawa oleh mereka.
Perkara ini perlu dilakukan bagi memastikan semua pihak dapat menjaga kepentingan negara dan liga sekaligus menyokong kelab yang menaikkan nama negara di pentas Asia.