TEKA-teki ketiadaan kelibat analisis pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Haydee Agras di bangku simpanan akhirnya terjawab apabila dia mengumumkan tidak lagi bersama Harimau Selatan.
Haydee yang mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air kerana minatnya terhadap bola sepak membuat pengumuman itu menerusi laman Instagramnya.
Dia yang sudah berkhidmat bersama juara lapan kali Liga Super itu sejak tahun 2019 menjadi individu terbaharu daripada barisan kejurulatihan yang meninggalkan JDT selepas Benjamin Mora.
Gadis yang berasal dari Vigo, Sepanyol itu adalah pakar analisis yang bertanggungjawab menyediakan laporan lengkap perlawanan kepada jurulatih dan menghabiskan masa luangnya dengan perlawanan bola sepak untuk dianalisa.
Menerusi hantaran di media sosialnya dia mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor T(unku Ismail Sultan Ibrahim) dan juga Benjamin Mora kerana memberikannya peluang untuk berkhidmat bersama-sama.
“Sejak 2019 saya telah bersama kelab hebat ini dan hari ini adalah masa untuk mengucapkan selamat tinggal. Saya telah banyak belajar, menikmati dan pengalaman hidup yang akan saya bawa sepanjang hidup.
“Terima kasih kepada TMJ kerana memberi saya peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga JDT. Saya terhutang budi dengan peluang yang diberikan untuk mengembangkan lagi kerja saya berbangga berjuang di pihak kamu.
“Terima kasih juga kepada Benjamin Mora yang menjadikan saya sebahagian daripada staf kejurulatihan. Sikap profesional, etika kerja dan kualiti kemanusiaan yang ada pada anda lebih tinggi dari kejayaan anda di kelab ini. Masanya untuk berehat dan bermula semula,” tulis kenyataan itu.