IKON terjun negara, Nur Dhabitah Sabri tidak menganggap penyertaan penerjun muda ke Sukan Sea Kemboja sebagai penghalang buat Malaysia membolot pingat emas dalam acara terjun seperti yang dilakukan pada temasya-temasya sebelum ini.

Ini selepas Persekutuan Renang Malaysia membuat keputusan untuk tidak menghantar atlet elit ke Sukan Sea untuk memberi peluang dan pendedahan kepada penerjun muda di peringkat antarabangsa.

Penerjun yang mesra disapa Bitah itu turut berkongsi sasaran peribadinya selain berharap dapat pulih sepenuhnya dari kecederaan yang dialaminya dan masih dalam peringkat perancangan untuk menambah rutin terjunnya.

“Saya rasa tidak menjadi masalah untuk penerjun muda terus menyumbangkan pingat emas. Mereka perlu bekerja kuat serta fokus kepada latihan dan jika mereka lakukan perkara ini, Insha Allah pingat emas akan jadi milik mereka.

“Sasaran spesifik saya tahun ini adalah untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 selain fokus kepada Kejohanan Dunia Fina di Fukuoka Jepun pada Julai dan mahu terus konsisten mendapat pingat pada Sukan Asia Hangzhou September nanti.

“Tambahan rutin terjunan semuanya bergantung pada latihan kerana ianya melibatkan risiko dan saya kini dalam proses pemulihan dari kecederaan lama dan kini banyak melakukan latihan kekuatan supaya dapat mengelak dari mudah mendapat kecederaan,” katanya ketika ditemui di Anugerah Ikon Sukan Harian Metro.

Pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi Vietnam pada Mei 2022, kem terjun negara terus menjadi kuasa besar di rantau Asia Tenggara apabila muncul juara keseluruhan dengan kutipan lapan pingat emas, tiga perak dan satu gangsa sekaligus memegang status berkenaan buat kali kesembilan berturut-turut sejak 2005.

Ketika Sukan Asia Jakarta Palembang 2018, Dhabitah berjaya menyumbang satu pingat perak menerusi acara 3 meter papan anjal berirama bersama Wendy Ng dan dua pingat gangsa dalam acara 3 meter papan anjal individu dan 10 meter platform berirama bersama Datuk Leong Mun Yee.

Dhabitah turut melahirkan rasa terkejut apabila dia dipilih sebagai pemenang Ikon Sukan Wanita dan gembira kerana buat pertama kali dapat merasai kemeriahan majlis anugerah yang gilang gemilang itu.