PENGENDALI Penang FC, Chong Yee Fatt mahukan para pemainnya mengekalkan fokus dan tidak terbawa-bawa dengan kemenangan ke atas Kedah Darul Aman dalam Piala FA untuk bertemu Selangor FC dalam aksi Liga Super pada Ahad.
Dia mengakui skuad Gergasi Merah adalah pasukan yang baik dengan kehadiran pemain-pemain yang berkualiti tetapi dia tetap yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya dalam usaha mencari kemenangan pertama musim ini.
Jurulatih berpengalaman itu juga merasakan perlawanan pada sebelah petang tidak akan mendatangkan masalah buat para pemainnya kerana mereka sudah biasa menjalani latihan pada setiap petang.
“Selangor sedang melakukan permulaan yang baik dan ini bukanlah kejutan kerana mereka dibarisi pemain yang berkualiti di setiap bahagian serta mempunyai jurulatih yang berpengalaman.
“Pasukan kini mencari kemenangan pertama dalam musim yang sangat sukar kerana kesemua pasukan dalam Liga Super adalah pasukan yang kuat tetapi kami tetap fokus untuk menghadapi perlawanan ini.
“Kami juga akan bermain pada sebelah petang buat pertama kami tetapi ianya tidak akan menjejaskan corak permainan kerana kami sudah biasa berlatih pada sebelah petang,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Yee Fatt juga yakin penjaga golnya, Shafiq Afifi Suhaimi yang kini menjadi perhatian ramai selepas aksi hebatnya menyelamatkan sepakan penalti pada aksi Piala FA mampu menyerap tekanan dan meneruskan aksi baik apabila diturunkan.
“Dia semakin menunjukkan peningkatan dari sehari ke sehari dalam latihan dan mempunyai mentaliti yang matang dan saya rasakan perkara itu tidak akan menggangu persembahannya dalam perlawanan selepas ini,” jelas Yee Fatt.