UMPAMA mimpi menjadi kenyataan, bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David mengakui bahawa beliau sememangnya mengimpikan untuk memasuki stadium Olimpik dan mengibarkan Jalur Gemilang.

Namun impiannya itu tidak tercapai ketika beliau bergelar atlet kerana skuasy tidak dipertandingkan di Temasya Olimpik.

Melihat kesungguhan Nicol bersama rakan skuasy antarabangsa, mempromosi sukan skuasy untuk dimasukkan ke dalam kalendar Olimpik, tidak dinafikan betapa besar impiannya untuk bergelar Olimpian.

Meskipun sudah bersara dari Sukan Skuasy, Nicol bergiat aktif berkempen dalam usaha membida skuasy disenaraikan ke Sukan Olimpik.

“Kali pertama dalam sejarah, mana-mana personaliti skuasy terutamanya atlet, menjadi sebahagian daripada jawatankuasa Olimpik. Ya sebelum ini ada Tunku Imran Tuanku Jaafar (bekas Presiden Persatuan Skuasy Malaysia) berada dalam Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Tetapi ini kali pertama bekas atlet skuasy terlibat langsung bersama kontinjen, terima kasih atas peluang ini. Saya mula terbayang memasuki stadium dengan memegang bendera Malaysia.. it was my dream come true,” kata Nicol, selepas diumumkan dirinya dilantik sebagai Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Olimpik Paris 2024, membantu Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai CdM.

Nicol, Mirnawan dan Chong Wei, antara bekas atlet yang dilantik dalam jawatankuasa Road To Gold.

Menurutnya, beliau dihubungi Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sendiri, yang memberitahu mengenai cadangan melantiknya sebagai Timbalan CDM kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, beliau amat berbangga dapat membantu dan bersama-sama kontinjen negara ke Olimpik.

“Walaupun say tidak bertanding di Olimpik, ini peluang untuk saya menyokong pasukan. Meskipun say tidak pernah bermain di Olimpik, saya ada pengalaman beraksi di pentas tertinggi skuasy, saya boleh berkongsi pengalaman.”

Sebagai atlet yang paling lama mengungguli ranking nombor satu dunia selama 108 bulan berturut-turut, menjuarai lapan kejohanan dunia, tujuh kali memenangi pingat emas Sukan Asia, dua di Komanwel dan lima kali juara Terbuka British, Nicol sendiri pernah berada di bawah Program Podium.

Nicol adalah sebahagian daripada atlet yang pernah berada di bawah Program Podium.

“Saya percaya Program Podium sedia agak sempurna, tetapi kita cuba menambah apa yang perlu. Kami bersama-sama akan memikirkan apa yang diperlukan dari aspek di luar kotak.

“Sebab itu Hannah tampil mahukan bekas atlet melibatkan diri secara langsung kerana kami yang bergelar atletlah yang keluar ke gelanggang, yang merasai tekanannya, yang menggalas cabaran negara.

“Mungkin saya sendiri lebih selesa bercakap dengan atlet kerana pengalaman yang saya ada,” kata anak kelahiran Pulau Pinang yang bermain skuasy sejak berusia 5 tahun itu.