BERAKHIR perjuangan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023 tanpa sebarang gelaran, selepas terkandas pada saingan separuh akhir keirin di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow, di Scotland.
Kegagalan berada dalam kelompok enam terbaik pada separuh akhir menyaksikan The Pocket Rocketman sekadar mara ke aksi klasifikasi 7-12, dan menamatkan perlumbaan itu pada kedudukan kesembilan sekali gus meranapkan impiannya menambah satu lagi koleksi emas di kejohanan berkenaan selepas melakukannya pada 2017.
Terdahulu, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu tidak berdepan masalah di peringkat suku akhir selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik untuk ke separuh akhir bersama-sama Jeffrey Hoogland (Belanda), Shinji Nakano (Jepun) dan Thomas Cornish (Australia).
Bagaimanapun, di separuh akhir pelumba berusia 35 tahun itu terpaksa akur selepas terkepung di bahagian dalam antara penyandang juara, Harrie Lavreysen (Belanda), Jack Carlin (Britain) dan Kevin Quintero (Colombia) yang menyaksikan ketiga-tiga lawannya ke final.
Azizulhasni yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, cuba untuk melupakan kekecewaan di separuh akhir dengan memberi kayuhan bertenaga di klasifikasi ketujuh hingga 12 namun terpaksa akur menamatkan perlumbaan di belakang Matthew Glaetzer (Australia) dan Kaiya Ota (Jepun).
Sebelum ini dalam acara pecut, pelumba yang memenangi dua emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) itu disingkirkan pada pusingan kedua selepas komisar mengesannya memasuki laluan pecut Cornish yang berada di hadapannya.
Emas dalam acara final keirin diraih Quintero selepas menamatkan penguasaan Lavreysen yang sebelum ini muncul juara tiga kali berturut-turut, manakala Matthew Richardson dari Australia membawa pulang perak dan Nakano melengkapkan podium di tempat ketiga.
Kejayaan Quintero yang berusia 24 tahun memadam kekecewaan tahun lalu apabila dia sekadar meraih gangsa dalam acara sama di Saint Quentin en Yvelines, Perancis.