MENTERI Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menyatakan tidak ada sebab untuk meletakkan kesalahan di bahu Datuk Hamidin Mohd Amin atas isu baju rasmi atlet ke Sukan Olimpik Paris.

Datuk Hamidin, Chef De Mission ke temasya pelbagai sukan terbesar dunia itu mendapat kritikan hebat dari netizen selepas masing-masing menyatakan pendapat tidak berpuas hati dengan rekaan baju rasmi itu.

“Hamidin bukan penyebabnya dan mengapa kita perlu salahkan dia? Sudah pasti dia bukan seorang pemimpin yang sempurna, begitu juga saya tetapi dia sudah melakukan yang terbaik dengan sumber dan cabaran yang dia hadapi.

Hannah tidak menyalahkan Hamidin dalam isu baju kontinjen.

“Memecat seseorang bukanlah penyelesaian buat semua masalah tetapi mencari punca masalah itu adalah yang lebih penting dan setiap pemimpin mempunyai cara kerja mereka yang tersendiri.

“Apa yang saya mahukan, apabila di Paris nanti semua atlet dan pegawai berjalan sebagai satu pasukan iaitu Malaysia,” katanya dalam sidang selepas majlis pelancaran Liga Wanita Nasional 2024.

Hannah juga menegaskan bahawa baju rasmi itu bukanlah pakaian yang akan digunakan Kontinjen Malaysia ketika perbarisan masuk Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Olimpik nanti dan ianya mempunyai rekaan yang lain.

Baju rasmi Kontinjen Malaysia yang mendapat kecaman netizen.

Dalam sidang media yang sama, Hannah menggesa pihak polis untuk menyegerakan proses siasatan terhadap kes khianat terhadap Faisal Halim dan dia sedar akan rasa murka DYMM Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj.

“Saya menyeru kepada pihak polis untuk mempercepatkan proses siasatan supaya kita boleh melangkah ke peringkat seterusnya kerana Faisal Halim dia adalah aset kepada negara dan saya juga berharap Selangor membuat rayuan kepada MFL,” jelasnya.