PENGERUSI Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail menegaskan tidak ada tangan ghaib dalam industri futsal kebangsaan dan ketua jurulatih baharu akan diberikan kuasa penuh dalam menentukan hala tuju sukan itu.

Rosmadi berkata demikian ketika majlis memperkenalkan pengendali futsal baharu Harimau Malaya, Rakphol Sainetngam yang bakal menggalas jawatan ketua jurulatih dengan kontrak selama dua tahun.

Pengumuman itu juga sekali gus menyaksikan skuad futsal negara akan kembali dibimbing oleh jurulatih luar negara selepas kali terakhir skuad futsal negara dibimbing Marcelo Serpa Coelho dari Brazil pada 2015.

“Untuk pemilihan pemain, kita akan gunakan sistem pemilihan yang sedia ada. Kita akan berikan kebebasan sepenuhnya kepada ketua jurulatih untuk dia pilih pemain yang terbaik.

“Kita di pihak pengurusan dan di FAM ini tidak mengamalkan tangan-tangan ghaib. Apa yang penting pemilihan pemain akan mengikut selera jurulatih dan apa yang dilihat olehnya sebagai pemain yang terbaik untuk mewakili pasukan kebangsaan.

“Untuk struktur liga tahun hadapan, kami akan mendapatkan pandangan dengan ketua jurulatih dan akan berkerjasama rapat untuk memastikan kita mempunyai liga yang lebih kompetitif pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media itu.

Rakphol hadir ke Malaysia dengan reputasi yang cukup cemerlang berbekalkan pengalaman luasnya selama 14 tahun bergelar penolong serta ketua jurulatih kelab gergasi Thailand, Bluewave Chonburi.

Pengendali berusia 44 tahun itu juga telah membawa pasukan Black Steel Papua dari Indonesia menjuarai Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 Mei lalu dan muncul tempat ketiga dalam Liga Futsal Profesional Indonesia 2023.

Rakphol juga mempunyai rekod yang baik di peringkat antarabangsa apabila pernah membimbing skuad kebangsaan Thailand sehingga mara ke pusingan 16 saingan Piala Dunia Futsal 2021 di Lithuania.