PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon tidak peduli segala kritikan yang dilemparkan pihak netizen ke atas formasinya yang didakwa ada campur tangan kononnya oleh pihak ketiga.

Selepas kalah dua perlawanan Kumpulan E, segelintir pengguna media sosial ‘rancak’ dan terlebih sudu daripada kuah menghakimi segala taktikal dan plan diterapkan jurulatih asal Korea Selatan di pentas Piala Asia 2023.

“Saya tidak kisah. Kami sudah meningkat tahun lepas untuk menunjukkan prestasi terbaik kami, keputusan terbaik selama tiga tahun.

“Di sisi pemain saya, mereka adalah terbaik dengan apa yang mereka boleh lakukan. Jadi saya tidak kisah. Saya hanya memandang ke hadapan.

“Cuma, anda tahu, sebagai rakyat yang baik, tak perlu mengendahkan pintu di belakang (dakwaan mengenai tangan ghaib).

“Kami akan melakukan perkara yang hebat kepada orang ramai. Itu penting. Jadi saya rasa anda tahu, lebih baik kita melangkah ke hadapan daripada melihat ke belakang,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Doha, Qatar pada Rabu.

Jelas Pan-gon, sejak dirinya membimbing pasukan kebangsaan pada Mac 2022 lalu, beliau berjaya memacu pasukan mencatat 18 kemenangan dalam 28 perlawanan termasuk layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun.

Baru-baru ini netizen dan pengguna media sosial mendakwa ada pihak ketiga atau ‘tangan hantu’ untuk mempengaruhi barisan Pan-gon dalam membuat keputusan ketika menentang Jordan dan Bahrain.

Dakwaan itu dibangkitkan terutama ketika tindakan Pan-gon membawa masuk Natxo Insa pada separuh masa kedua yang menyaksikan momentum pasukan menurun hingga menyebabkan Malaysia tewas 0-1 menerusi jaringan lewat pemain Bahrain.

Netizen mempersoalkan kemasukan Natxo yang disifatkan tidak cergas selain faktor usia yang sudah menjangkau 36 tahun, berbanding Brengan Gan yang lebih ampuh di bahagian tengah.

Malaysia yang berada di ranking ke-130 dunia akan bertemu Taegeuk Warriors dalam aksi pelengkap jadual di Stadium Al Janoub, Doha pada Khamis.