PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak akui pasukan kendaliannya sedikit pincang setelah ketiadaan Declan Lambert, Jordan Mintah dan Giancarlo Gallifuoco dalam kesebelasan utama.
“Hari ini kita kehilangan tiga pemain. Jadi anda boleh melihat ketiadaan Declan Lambert, Jordan Mintah dan Giancarlo Gallifuoco. Bermain dalam pasukan yang kecil, perbezaannya akan menjadi ketara.
“Apa yang paling memilukan adalah gol kedua pelawat kerana ia dijaringkan pada penghujung babak pertama, yang mana kita tidak boleh sesekali melepaskan gol-gol mudah,” jelasnya ketika ditemui media selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, Bojan tampil menjelaskan bahawa cuaca sejuk di Uzbekistan serta perbezaan masa yang jauh sedikit sebanyak menjejaskan persembahan anak buahnya ketika berdepan Sang Penyu.
“Mungkin kerana perlawanan di Uzbekistan yang mana cuacanya sangat sejuk. Semua ini adalah perjalanan yang jauh. Sesetengah pemain memiliki masalah dengan perbezaan masa. Sesetengah mereka juga tidak boleh tidur.
“Bermain dan berlatih di Uzbekistan adalah sangat sukar. Kemudian kami sampai pada musim hujan, jadi padang sangat lembut,” katanya.
Hard luck. We focus on the next one! Heads up 🔴⚪️#KLCityFC #KLPride #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/02Nmi9DU35
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) October 11, 2022
Mengulas aksi akhir Piala AFC 2022 yang masih menjadi spekulasi dan bualan peminat bola sepak tanah air, Bojan Hodak tampil menegaskan kemungkinan besar Stadium Nasional Bukit Jalil bakal digunakan sebagai medan pertempuran terakhir The City Boys dalam saingan Piala AFC.
“Final mungkin dilangsungkan di Bukit Jalil kerana mereka harus menggunakan VAR, mereka juga perlukan kecerahan lampu limpah 1,800 lux yang tidak boleh ditampung di Stadium KLFA, Cheras.
“Ia adalah masalah teknikal. Semua pemain dan jurulatih kita semua sememangnya ingin bermain di sini kerana kami telah terbiasa di Stadium Bola Sepak Cheras tetapi atas masalah teknikal, kita mesti akur,” ujarnya.