PEMANAH pertama negara yang layak ke Olimpik Paris 2024, Ariana Nur Dania Zairi, mempunyai potensi besar, namun Majlis Sukan Negara (MSN) perlu segera merangka program bagi memastikan atlet pelapis kebangsaan itu terus menunjukkan peningkatan prestasi.

Ini berikutan program latihan buatnya sudah berakhir dan menurut jurulatihnya, Wan Mohd Khalmizam Wan Abdul Aziz yang juga pemanah negara, Ariana berkemungkinan dinaikkan ke program Podium.

”Setakat ini tiada lagi program untuknya di Pelapis Kebangsaan, mungkin dia akan naik ke Podium,” kata Wan Khalmizam.

Menurutnya, secara kebetulan, Ariana layak ke Olimpik Paris menggunakan laluan yang sama sepertinya melayakkan diri ke Olimpik Beijing 2008, iaitu menerusi Kejohanan Kelayakan Benua Asia 2007 yang berlangsung di Xi’an, China.

Pada Sabtu, Ariana melayakkan diri ke Paris 2024 selepas menjuarai recurve individu wanita, Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok, Thailand.

Catatan mata dilakukan Ariana Nur Dania di kejohanan kelayakan Olimppik Paris, berkelas dunia.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemanah negara ke kejohanan di Bangkok tanpa diletakkan sasaran sebaliknya semata-mata untuk pendedahan.

Namun ujarnya, meskipun memegang status pemanah pelapis kebangsaan, prestasi Ariana ketika melepasi kelayakan Olimpik Paris itu, tidak boleh dipertikaikan kerana catatan dilakukannya berkelas dunia.

“Bagi saya, pencapaian Ariana mengejutkan… MSN tidak meletakkan sasaran dan kehadiran pemanah ke Bangkok untuk pendedahan kejohanan selain saya meminta mereka menunjukkan prestasi terbaik dan berikan saingan kepada lawan.

 

Wan Mohd Khalmizam layak beraksi di Olimpik Beijong 2008.

“Kami sedar, kehadiran pemanah wanita ternama dunia dari India, Bangladesh dan Iran, namun dia (Ariana) layak ke Olimpik dengan prestasi yang baik, dia ada potensi.

“Namun potensinya, bergantung kepada cara persiapan kita ke arah Olimpik. Ariana sudah buktikan dengan memecah rekod kebangsaan,” kata Wan Khalmizam.

Tambahnya, semangat dipamerkan Ariana luar biasa apatah lagi sanggup menyertai kejohanan, pada musim peperiksaan.

“Dia penuntut German-Malaysian Institute (GMI) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal Pengeluaran dan Rekabentuk Produk.

“Malam tadi kami baru tiba dari Bangkok, Thailand dan hari ini dia sedang menjalani peperiksaan.”

Untuk rekod, Mon Redee Sut Txi muncul pemanah pertama negara beraksi di Sukan Olimpik apabila layak ke Athens 2004.

Pada Temasya Beijing 2008, Muhammad Marbawi Sulaiman, Cheng Chu Sian dan Wan Mohd Khalmizam layak beraksi dalam acara individu dan berpasukan lelaki.

Pada London 2012, empat pemanah layak ke Olimpik iaitu Chu Sian, Haziq Kamaruddin, Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim.

Di Rio 2016 pula, Khairul Anuar, Haziq  dan Muhammad Akmal Nor Hasrin beraksi.

Sementara pada Tokyo 2020 (2022), hanya dua pemanah iaitu Khairul Anuar dan Syaqiera Mashayikh layak beraksi.