MENYEDARI gagal memenuhi hasrat rakyat Malaysia, Datuk Pandelela Rinong secara terbuka memohon maaf atas kegagalannya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Menutup saingan Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu dengan kegagalan, Pandelela dia mengakui mendapat pengajaran berguna ketika terlepas tiket ke Paris 2024.
“Walaupun sudah berusaha sebaik mungkin untuk menghadapi Kejohanan Dunia Doha… baik dan buruknya, saya mengambil ia sebagai pengajaran untuk melangkah (lebih baik) di masa akan datang,” katanya, menerusi hantaran di media sosial, Facebook pada Isnin.
“Saya dengan ikhlas ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan semua dalam perjalanan saya di kelayakan Olimpik ini dan maafkan saya kerana tidak dapat menunaikan janji saya kali ini.
“Begitupun, saya akan terus berusaha dan bangkit semula pada kejohanan akan datang, kerana saya belum lagi selesai (dalam perjuangan) dan akan terus yakin dengan perancangan Tuhan.”
Pandelela yang berada dalam senarai atlet dalam program Road To Gold (RTG), terlepas peluang ke Paris 2024 apabila terkandas di pusingan kelayakan di Doha dalam acara kegemarannya 10 meter (m) platform individu.
Atlet berusia 30 tahun itu menamatkan saingan di tempat ke-29 daripada 46 peserta selain turut gagal melayakkan diri dalam acara 10m platform seirama bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri apabila mengakhiri acara final di kedudukan ke-12 daripada 16 pasangan.
Untuk rekod, setakat ini, hanya seorang atlet terjun negara iaitu Bertrand Rhodict Lises yang sudah mengesahkan tiket ke Olimpik Paris dalam acara 10m platform individu ketika Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai tahun lalu.