PENGENDALI skuad wanita kebangsaan, Soleen Al Zoubi mahu para pemainnya mengurangkan kesilapan individu jika mereka mahu mendapatkan keputusan positif apabila bertemu Filipina dalam aksi kedua Kumpulan A, acara bola sepak wanita di Temasya Sukan Sea di Stadium Army, Phnom Penh pada Sabtu.

Soleen juga tahu Filipina akan turun dengan sepenuh tenaga mereka kerana pasukan pilihan itu mahukan tiga mata pertama selepas tewas mengejut kepada Myanmar 1-0 dalam aksi pembukaan pada Rabu dan mahukan anak-anak buahnya kekal fokus pada perlawanan itu.

“Persiapan berjalan dengan lancar dan selepas perlawanan pembukaan yang sukar terutama buat pemain yang pertama kali bermain di peringkat antarabangsa, kini kami mempunyai lebih masa untuk menganalisa dan mengurangkan kesilapan yang dilakukan pada perlawanan pertama. Para pemain juga berada dalam keadaan yang baik dengan suasana yang positif dan berharap kami dapat keputusan yang positif untuk perlawanan menentang Filipina.

“Kekalahan pada perlawanan pertama semestinya bukan mudah buat Filipina kerana mereka adalah pasukan yang kuat yang dalam rangka persiapan ke Piala Dunia dan mahu layak ke peringkat seterusnya serta memenangi pingat emas.

“Atas sebab ini mereka akan bermain dengan sepenuh tenaga apabila berhadapan kami tetapi bagi kami, tiada yang mustahil dalam bola sepak dan kami akan fokus dalam perlawanan ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Pengendali berasal dari Jordan itu turut mengucapkan penghargaan kepada para penyokong yang sentiasa memberikan kata-kata semangat buat para pemainnya dan berharap sokongan ini diteruskan kerana ianya baik buat para pemain.

“Saya mahu berterima kasih kepada penyokong bola sepak wanita di Malaysia yang telah menyokong kami sebelum kami tiba di sini dan juga selepas kami kalah kepada Vietnam. Meskipun tewas, kami menerima banyak komen dan maklum balas yang postitif dan ini adalah permulaan untuk perjalanan yang masih panjang.

“Melihat para pemain berjuang dalam perlawanan pertama, ianya sangat mengujakan dan kami mempunyai banyak pemain yang berbakat tetapi kami perlukan sokongan dan kepada para penyokong, teruskan memberi kata-kata semangat agar para pemain dapat merasai lebih profesional dan bersedia untuk bermain di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Malayan Tigress akan bertemu Filipina, pasukan di tempat ke-49 dunia pada Sabtu dengan sebarang keputusan positif akan menyalakan peluang untuk Malaysia layak ke peringkat seterusnya tetapi jika tewas, pintu kelayakan akan tertutup dan perlawanan terakhir menentang Myanmar pada Isnin akan menjadi sekadar pelengkap jadual.