TIDAK alert dengan situasi, menjadi punca skuad hoki lelaki negara tumbang 3-4 di tangan Korea Selatan pada aksi keempat Kumpulan B di Stadium Gongshu Canal Sport Park.

Skuad bimbingan A Arulselvaraj itu tiga kali mendahului namun kerana tidak peka, terpaksa melepaskan tiga mata yang berada dalam genggaman selepas Korea Selatan menyempurnakan pukulan penalti mereka pada minit ke-55 untuk gol kemenangan lawan.

Keputusan itu menyaksikan perebutan bagi juara Kumpulan B bertambah rancak memandangkan tiga pasukan memiliki sembilan mata ketika ini iaitu Malaysia, Korea Selatan dan China dengan China ada satu perlawanan dalam tangan.

Skuad bimbingan ketua jurulatih, A Arulselvaraj nampaknya belum settle.

“Ada beberapa kesilapan mudah yang dilakukan seperti dari segi konsentrasi dan apa yang saya nak ingatkan kepada pemain adalah kepekaan di sekeliling padang. Ini kelemahan kita kerana kepekaan kita agak lembab.

“Kalau kita bermain dengan kepekaan yang tinggi, pergerakan bola memang bagus tetapi hari ini (semalam),lembab sedikit kerana kita kurang peka di atas padang,” kata Arul.

Ketika diminta mengulas mengenai kegagalan Razie Rahim menyempurnakan pukulan penalti pada suku keempat sekali gus Malaysia terlepas peluang mendapatkan gol keempat, Arul menegaskan dia tidak menyalahkan mana-mana pemain jika gagal meraih keputusan positif.

May be an image of 2 people, people playing tennis, people playing hockey and text

“Ia boleh berlaku (pukulan penalti tidak menjadi) dan dia pun sudah menjaringkan gol buat kita dalam perlawanan ini. Jadi tolong jangan katakan bahawa (kekalahan) ini kerana Razie.

“Saya tidak pernah menyalahkan mana-mana pemain. Kita menang sebagai satu pasukan, kita kalah pun sebagai satu pasukan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Malaysian Tigers tewas kepada Korea Selatan, wajib menang lawan China

Sementara itu, Razie mengakui kecewa selepas tidak berjaya menyempurnakan pukulan penalti yang mampu menghadiahkan gol keempat buat negara namun dia bertekad untuk bangkit pada aksi seterusnya berdepan China.

“Saya ambil tanggungjawab kerana tidak dapat jaringkan pukulan penalti terakhir itu dan atas keputusan hari ini. Saya berharap kita akan bangkit dan buat yang terbaik untuk aksi terakhir,” katanya.