PERTAHANAN kebangsaan, Dion Cools mahu unit pertahanan skuad Harimau Malaya lebih kompak pada aksi kedua Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Chinese Taipei jika mahu memastikan tiga mata berjaya di bawa pulang.

Dia berkata ianya seakan tidak berbaloi sekiranya tidak berjaya mencatat kemenangan ke atas lawan di tangga ke-151 ranking dunia itu selepas melengkapkan kebangkitan dramatik ke atas Republik Kyrgyz Khamis lalu.

“Semua pemain akan kembali berlatih kerana perlawanan selepas ini sangat penting yang mana kami perlukan tiga mata kerana ianya tidak berbaloi menang ke atas Krygyztan kemudiannya tewas kepada Taiwan.

“Kami menghormati lawan kerana sedar ianya bukan perlawanan yang mudah kerana kita tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku terutama apabila bermain di tempat lawan.

“Mereka adalah lawan yang sukar tetapi jika kami jalankan tugas yang diberikan kemenangan akan menjadi milik Harimau Malaya,” katanya yang ditemui pada sesi latihan rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Mengulas tentang kemenangan ke atas Republik Kyrgyz tempoh hari, Dion berkata dia merasakan satu pengalaman yang bercampur baur tetapi tetap gembira kerana berjaya mengutip tiga mata untuk memulakan kempen dengan catatan yang positif.

“Saya rasa ianya perasaan yang bercampur baur kerana kami gembira berjaya memenangi perlawanan tetapi sebagai pertahanan, saya mahukan ‘clean sheet’, namun tiga mata lebih penting dalam perlawanan seperti ini.

“Sebagai pertahanan, kami harus lebih kompak serta kurangkan kesilapan dan memberi ruang kepada lawan. Kami banyak belajar dan ianya akan membantu kami pada perlawanan selepas ini,” jelasnya.

Pemain berusia 27 tahun itu juga tidak mahu memandang rendah cabaran Chinese Taipei meskipun mempunyai ranking lebih rendah kerana Malaysia sudah membuktikan yang mereka mampu bersaing dengan pasukan ranking lebih tinggi ketika ini.

“Ranking tidak membawa makna apa-apa pun ketika ini kerana telah terbukti kami berjaya saingi pasukan yang mempunyai ranking lebih 30 hingga 40 tangga. Setiap permainan kita perlu hormati lawan kerana mereka juga mempunyai keyakinan untuk menewaskan kita.

“Kami telah buktikan berjaya menyaingi China dan Syria di tempat lawan kerana setiap perlawanan adalah 11 lawan 11 dan kami hanya fokus kepada diri kami sendiri namun sedar sudah pasti bukan perlawanan yang mudah di tempat lawan,” ujarnya.

Malaysia akan berhadapan Chinese Taipei untuk aksi kedua Kumpulan D dan tiga mata sekali lagi dituntut untuk memastikan Harimau Malaya berada pada kedudukan selesa bagi menempah slot automatik ke Piala Asia 2027 dan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.