PENYERANG kebangsaaan negara, Darren Lok tidak mahu memberi apa-apa alasan biarpun pasukan Malaysia mempamerkan aksi yang kurang memberansangkan ketika kalah kepada Oman semalam.
Menurutnya, alasan seperti kondisi padang yang tidak ideal atau kurangnya perlawanan liga yang kompetitif tidak boleh dijadikan isu, kerana setiap pemain sepatutnya bersedia menghadapi cabaran yang ada.
“Kedua-dua pasukan berada di atas padang yang sama, ia tidaklah seteruk daripada apa yang kami sangkakan tetapi ia masih lagi tidak ideal.
“Kami banyak mengawal dan menguasai bola semasa perlawanan, cuma sedikit bergelut untuk mendapatkan peluang menjaringkan gol kerana dikawal ketat oleh pemain pertahanan Oman dan kemudian serangan balas dari pemainnya yang cukup baik untuk menghukum kami.
“Kami datang bermain ketika sesi pra-musim masih lagi berjalan, tanpa perlawanan kompetitif tetapi kami cuba membuat persediaan yang baik, para jurulatih juga membantu menyiapkan kami dan semua dalam pasukan berlatih bersungguh-sungguh tetapi malam ini (semalam) bukanlah malam kami,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.
Darren juga berharap rakan sepasukannya untuk dapatkan kecergasan dan momentum yang baik bersama kelab masing-masing sebelum bertemu semula pada bulan Jun nanti.
Malaysia akan menghadapi baki dua perlawanan terakhir pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila bertemu Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun sebelum menentang Chinese Taipei di tanah air pada 11 Jun nanti.