MEDIA dipetik sebagai antara faktor yang meletakkan tekanan ke atas atlet kebangsaan untuk mempamerkan prestasi terbaik di Temasya Sukan Asia 2022 yang akan berlangsung di Hangzhou, China.
Menjelang temasya yang akan bermula secara rasminya pada 23 September hingga 8 Oktober itu, kontinjen negara diletakkan sasaran membawa pulang 27 pingat tanpa mengira warna, sesuatu yang baharu buat kontinjen negara ketika menyertai temasya sukan.
Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata, penetapan sasaran itu, dibuat bagi mengnurangkan tekanan ke atas atlet.
Menurutnya, tanpa mendedahkan sasaran warna pingat, ia dapat mengelakkan media daripada mempersoal pencapaian atlet dan melaporkan mengenai jangkaan pingat sekali gus membolehkan atlet fokus hanyna kepada prestasi.
“Setiap kali kita meletakkan sasaran, mesti reporter akan mencari mereka (atlet) dan sebagainya.
“Jadi mereka berasakan bahawa adalah lebih adil untuk mereka mempamerkan prestasi, baru dinilai berbanding kita meletakkan sasaran awal.
“Ini (alasan) datang daripada atlet, jurulatih dan persatuan sukan itu sendiri,” kata Jefri, pada sidang media ketika Ketua Kontinjen (CDM) Dato’ Chong Kim Fatt mengumumkan sasaran pingat kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou 2022.
Tambah Jefri lagi, pihaknya belajar daripada temasya Sukan SEA Kemboja 2023, apabila yang disandarkan harapan untuk membawa pulang pingat emas, berdepan tekanan susulan perhatian diberikan media.
“Jika lihat daripada post-mortem Sukan SEA lepas, kebanyakan atlet yang kita jumpa yang bercakap dengan Menteri Hannah Teoh, pihak OCM dan ISN, mereka menyatakan bahawa kadang-kadang sasaran yang diletakkan ke atas mereka terlalu memberi kesan.”
Malah, tegas Jefri, cadangan untuk tidak menetapkan sasaran pingat emas juga datang daripada wakil dari Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) yang berkongsi kepakaran bersama pihak MSN, yang mengesahkan bahawa negara besar sukan dunia termasuk Jepun dan Australia, menggunakan pendekatan yang sama.
Jefri berkongsi maklumat mengenai sasaran ditetapkan beberapa kontinjen negara bertanding yang tidak menetapkan sasaran warna pingat di Temasya Hangzhou, seperti Jepun, India, Korea Selatan, Hong Kong, Singapura, Filipina dan Iran.
Manakala Uzbekistan menetapkan sasaran enam atlet terbaiknya untuk mendapatkan pingat emas, Vietnam (5 emas) dan Indonesia (ranking 12 iaitu 8-12 emas).
Bagaimanapun, sasaran 27 pingat yang ditetapkan itu, jauh lebih rendah daripada kutipan keseluruhan pingat di Temasya Jakarta-Palembang 2018, apabila kontinjen negara berjaya meraih 36 pingat.