TIDAK mungkin Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menukar pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, selepas Lembaga Eksekutifnya sudah memberi lampu hijau sebagai tanda rekaan itu mendapat kelulusan.

Rekaan pakaian rasmi kontinjen negara itu mendapat kritikan daripada netizen di media sosial yang menyifatkannya tidak cantik dan selain mempersoalkan logo bendera Malaysia yang dikatakan tidak ‘tepat’.

Timbalan Presiden MOM, yang juga Chef de Mission (CDM) ke Sukan Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, tempoh 30 hari lagi menjelang Temasya Paris, adalah tempoh untuk memberi sokongan kepada kontinjen, bukan mempertikaikan soal warna, cantik atau tidak.

“Tidak, kita tiada masa dan tidak perlu (menukar rekaan). Kita perlu fikirkan macam mana kita nak dapatkan pingat emas.

“30 hari lagi tinggal, perlu fokus.. netizen dan media perlu mendukung wawasan dalam tempoh 30 hari ini,” kata Hamidin, ditemui selepas beliau dan delegasi MOM melawat wakil perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei menjalani latihan fasa akhir sebelum ke Paris, bagi menghadapi saingan Sukan Olimpik 2024.

Menurut beliau, antara rekaan baju dengan perburuan pingat emas pertama Sukan Olimpik, mana satu perlu diberi keutamaan.

Pakaian rasmi kontinjen negara di Sukan Olimpik London 2012.

“Pertamanya, saya tak nampak teruk sangat baju ini… kalau kita tengok kita perlu bersyukur.

“Saya juga telah berhubung dengan Presiden MOM, Tan Sri Muhammad Norza Zakaria dan beliau pada dasarnya bersetuju untuk kitaran kehadapan kita buat pertandingan dan buka kepada peminat untuk mereka baju. Pemenang nanti kita mungkin bagi sagu hati.

Pakaian rasmi kontijen negara di Sukan Olimpik Rio 2016.

“Berkenaan logo pula, ia adalah logo MOM (pada dada) dan bukan bendera Malaysia semata-mata.

“Kita bersetuju dengan Yonex untuk menonjolkan warga gold (keemasan) kerana warna jingga yang dipakai sejak 2004 sudah terlalu lama, para atlet juga sering meminta MOM menukar warna dan rekaan.

Pakaian rasmi kontinjen negara digunakan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Jadi MOM dan Yonex sepakat menukar kepada warna emas yang membawa maksud kita memburu pingat emas, jadi temanya emas dan hitam, satu kombinasi warna yang baik,” tambah Hamidin.

Beliau memberitahu bahawa pihaknya menerima maklum balas yang baik daripada atlet dan Olimpian.