PERANCANGAN awal diumumkan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky membawa pemain yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 ke Kuching, Sarawak sejurus berakhir saingan Terbuka Indonesia nampaknya ditukar pada saat akhir.
Sesi yang dikatakan bebas dari permainan fizikal dan menjadi persiapan memperkuat mental pemain itu, kini bertukar kepada perhatian sepenuhnya kepada beregu utama lelaki negara, yang menjadi sandaran memburu pingat emas pertama negara di temasya sukan terbesar dunia itu.
Langkah itu direstui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang turut mahukan langkah berjaga-jaga dalam mempersiapkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, bagi mengelak mereka dalam keadaan tertekan untuk menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, bulan depan.
Badan induk itu enggan nasib yang menimpa bekas gandingan nombor satu dunia dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon, berjangkit kepada Aaron-Wooi Yik.
Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Kevin-Marcus gagal merealisasikan harapan emas Indonesia, apabila tersingkir di suku akhir biarpun mereka hadir dengan reputasi cukup tinggi dan berada di kemuncak prestasi.
Kegagalan pasangan itu menampilkan aksi terbaik mereka dipercayai berpunca daripada tekanan tinggi yang dialami sebelum temasya berlangsung.
Justeru, Pengarah Pentadbiran BAM, Michelle Chai mahu semua pihak memberi ruang kepada Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sandaran bagi membawa pulang pingat emas di Paris.
“Saya ada pernah membaca hantaran Kevin-Marcus di media sosial… mereka menyatakan bahawa semua orang mengharap mereka menang emas di Olimpik yang terakhir (Tokyo), semua tempat atau orang yang mereka jumpa semua bercakap mengenai menang emas.
“Namun, apabila sampai di kejohanan, mereka tidak dapat beraksi dengan baik dan tersingkir awal.
“Jadi, kita tidak mahu perkara sama dialami Aaron-Wooi Yik, mereka harus diberikan ruang. Mereka adalah pemain senior dan kita pun tidak perlu beritahu mereka apa yang perlu dibuat kerana mereka sendiri pasti mahukannya (emas).
“Mereka harus diberikan ruang secukupnya untuk membuat persiapan, setiap pemain tekanannya berbeza,” kata Michelle.
Berbaki 44 hari sebelum temasya di Paris bermula, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking nombor lima dunia, bergelut dengan prestasi tidak menentu selepas gagal menghasilkan keputusan positif pada tiga kejohanan terakhir.
Mereka tersingkir di suku akhir Masters Malaysia dan Terbuka Singapura manakala ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka Indonesia.
Menurut Michelle, Aaron-Wooi Yik kini berada di Pulau Pinang selama tiga hari bagi mengikuti program motivasi bersama pakar psikologi, Frederick Tan.
Katanya, dua lagi pasangan negara yang layak ke Paris iaitu beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kekal berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.
“Selepas perbincangan dengan jurulatih, pemain dan Frederick, kita buat program mengikut keperluan pemain. Aaron-Wooi Yik merasakan mereka perlu berehat seketika manakala Pearly-Thinaah dan Tang Jie-Ee Wei merasakan yang mereka perlu lebih banyak masa di gelanggang,” katanya.
Sebelum ini, Rexy merombak waktu liputan media ke ABM kepada hanya sekali seminggu dan hanya jurulatih yang akan berkongsi perkembangan pemain, dalam usaha mengurangkan tekanan yang tidak perlu.
Bagaimanapun, ketiga-tiga beregu yang layak ke Olimpik Paris itu tetap gagal menghasilkan keputusan positif pada tiga kejohanan terakhir sebelum temasya bermula.