KETUA pasukan skuad Harimau Malaya, Faisal Halim tidak peduli dari kelab mana pun para pemain yang menyarung jersi kebangsaan kerana padanya Malaysia tetap nombor satu.

Dia juga berbangga dengan semangat dan aksi yang ditunjukkan oleh rakan sepasukannya untuk memenangi dua perlawanan persahabatan antarabangsa ini.

Pemain yang mesra disapa Mickey itu juga gembira dengan kemenangan ke atas Maldives dan yakin skuad ini mampu memberikan cabaran di Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 nanti.

“Semua pemain yang ada dalam pasukan ini adalah pemain yang baik. Tidak kira dari kelab mana pun mereka datang, kami perlu mengenepikan kelab kerana negara tetap nombor satu.

“Mereka juga bekerja keras dan berjaya membuktikan bahawa mereka layak untuk berada di dalam skuad. Itu yang saya puji pada rakan-rakan saya kerana mereka ambil cabaran ini untuk majukan karier mereka.

“Saya yakin dengan skuad ini, kita berharap untuk pergi ke tahap yang lebih tinggi. Kita tidak boleh janjikan yang istimewa kepada rakyat Malaysia, cuma kami berjanji di setiap perlawanan kami akan bermain dengan baik.

“Bukan jaringan yang kita pentingkan tetapi dari segi tekanan kepada pihak lawan untuk memenangi bola dan 3-0 saya rasa satu keputusan yang baik sebenarnya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Sejak dipilih sebagai ketua pasukan, Faisal telah mempamerkan aksi yang cemerlang dengan tiga gol dalam perlawanan sekaligus mencerahkan peluangnya untuk berada dalam senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF.