KETUA jurulatih Ulsan HD, Kim Pan-gon tidak mahu beralasan sebaliknya mengakui skuadnya tidak mampu berikan saingan hingga tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elite di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Dia juga meminta maaf kepada semua penyokong kerana masih gagal menjelmakan kemenangan pertama di kejohanan Asia meskipun sudah bergelar juara Liga Korea baru-baru ini.

“Sangat kecewa dan kami masih gagal dapat mata di ACL Elite dan saya meminta maaf kepada para penyokong Ulsan. Ianya sangat sukar buat pemain dengan perjalanan yang jauh dan bukan mudah untuk menghadapi jadual yang padat.

“Selepas bergelar juara lima hari lalu, kami datang ke sini dengan perjalanan yang panjang dan ianya sedikit menggangu pasukan tetapi ianya bukan satu alasan.

“Kami tidak mampu berikan saingan dan itu punca utama kami tewas hari ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Pan-gon juga mengelak untuk menjawab soalan mengenai prestasi pemain JDT yang pernah bersama-samanya di skuad Harimau Malaya sebaliknya mengakui kegagalan pasukannya dalam perlawanan ini.

Pan-gon nyata kecewa dengan prestasi pasukannya di ACL Elite

“Maafkan saya kerana saya tidak mahu komen mengenai pemain lawan dan sekali lagi saya meminta maaf kepada penyokong kerana kami tewas malam ini,” jelasnya.

Gol daripada Arif Aiman, Oscar Arribas dan Bergson Da Silva memberikan mimpi ngeri buat Pan-gon sekembalinya dia ke Malaysia selepas dia meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.