PENYERANG Harimau Malaya, Darren Lok tidak gusar dengan kekurangan jaringan buat skuad kebangsaan sebaliknya mahu melihat dirinya sebagai pemain yang boleh menyumbang dalam pelbagai sudut ketika beraksi.
Darren adalah penyumbang kepada gol pertama Malaysia ketika bertemu Republik Korea ketika Piala Asia 2023 apabila tekanan yang diberikan olehnya kepada pertahanan lawan membuka ruang Arif Aiman dan Faisal Halim bergandingan mencipta jaringan.
Dia berpendapat selagi Harimau Malaya mencatatkan keputusan yang positif, dia tidak peduli siapa pun yang menjaringkan gol kerana bola sepak adalah permainan yang dimainkan secara berpasukan.
“Saya tahu peranan saya dalam skuad kebangsaan adalah untuk berikan segalanya buat Malaysia bagi mendapatkan keputusan yang baik. Jika kita mendapat keputusan yang baik tidak kira siapa pun yang menjaringkan gol kerana bola sepak adalah permainan berpasukan.
Saya mahu dilihat oleh para penyokong sebagai pemain yang menyumbang kepada pasukan dalam pelbagai sudut dan bukan hanya menjadi penjaring gol,” katanya ketika ditemui di kem latihan pusat Harimau Malaya di Wisma FAM pada Isnin.
Pemain kacukan Inggeris Malaysia itu juga teruja dengan kehadiran penyerang naturalisasi baharu, Romel Morales yang terbukti mempunyai kualiti dan mencipta persaingan yang sihat buat dirinya untuk merebut tempat sebagai penyerang utama pasukan.
“Romel buktikan apa dia boleh lakukan ketika dia jaringkan gol di minit akhir bertemu Republik Korea dan dia tidak perlukan banyak peluang untuk jaringkan gol.
“Saya yakin lebih banyak panggilan buatnya ke skuad kebangsaan, dia akan lebih faham cara permainan dan apa yang diinginkan dari dia kerana semua orang tahu kualitinya dan dia mempunyai masa depan yang cerah dengan pasukan kebangsaan,” jelasnya.
Darren turut mengakui kekurangan kecergasan pada majoriti pemain menjadikan kem latihan pusat kali ini lebih sukar namun dia sedia mengadapinya sebagai seorang pemain bola sepak profesional.
“Sesi latihan kali ini sangat sukar tetapi kami perlukannya dan sebagai pemain profesional kami hanya perlu menurut kehendak barisan kejurulatihan yang turut bertungkus lumus memastikan kami berada dalam keadaan yang terbaik,” katanya.
Darren menyumbang gol kemenangan Harimau Malaya ketika menumpaskan Chinese Taipei di Taiwan bagi memastikan Malaysia kekal di tangga teratas Kumpulan D seterusnya membuka peluang layak ke peringkat seterusnya.