TIGA perlawanan Liga Super berlangsung malam semalam dengan Melaka United menentang Sri Pahang FC, PJ City melayan kunjungan Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC bertemu Sarawak United.
Seperti aksi Liga Super sebelum ini yang mendapat sambutan, tiga perlawanan ini juga menerima jumlah tontonan yang tinggi walaupun terpaksa bersaing dengan pelbagai rancangan hiburan pada malam minggu.
Lebih 1.4 juta tontonan siaran langsung menerusi platform YouTube unifi dicatatkan bagi ketiga-tiga perlawanan dengan purata hampir 480,000 tontonan untuk setiap perlawanan. Angka ini tidak termasuk jumlah tontonan di platform unifi TV dan Sukan RTM.
Sementara itu kira-kira 4,600 penyokong hadir ke tiga stadium ini secara purata dengan angka kehadiran juga dilihat semakin baik untuk musim 2022 ini yang mampu menjana pendapatan buat kelab masing-masing.
Aksi kebangkitan ala Mat Kilau yang ditampilkan Sri Pahang apabila berjaya mengikat Melaka United di Stadium Hang Jebat menerima 449,000 tontonan di internet dan 3,180 penyokong di stadium dengan penyokong Tok Gajah kembali yakin dengan kemampuan barisan kendalian Datuk Dollah Salleh ini.
Hajat PJ City FC untuk mencari kemenangan selepas 12 perlawanan dihalang Negeri Sembilan FC yang disaksikan 274,000 tontonan di YouTube manakala 1,100 penyokong hadir di Stadium MBPJ Kelana Jaya.
Terengganu FC yang bermain perlawanan keempat berturut-turut di laman sendiri berjaya mencatat kemenangan ke atas Sarawak United dihadapan lebih 9,600 penyokong dan 716,000 tontonan di internet.
Selain aksi Liga Super, dua perlawanan Liga Premier yang berlangsung di Kota Bharu dan Pasir Gudang juga berjaya mencatat angka kehadiran penyokong yang memuaskan dengan lebih 4,000 penyokong hadir di Kota Bharu dan hampir 2,000 penyokong hadir di Pasir Gudang.
Angka tontonan di internet, televisyen dan kehadiran penyokong di stadium yang menggalakkan meskipun dijalankan serentak dengan Liga Perdana Inggeris memberikan petanda positif kepada nilai komersil Liga Malaysia yang masih mendapat tempat dan perhatian dikalangan peminat bola sepak tempatan.