TIGA pelumba muda Motocross negara akan mewakili negara ke Kejohanan Motocross MXGP Samota yang akan berlangsung di Sumbawa, Indonesia pada 24-26 Jun ini.
Muhammad Hakimi Iroly dari Selangor, L.Dharwin dari Negeri Sembilan dan Pariphat Teeraphong dari Perlis yang mewakili ALS Motorsports telah mendapat tiket wildcard untuk berlumba dalam perlumbaan bertaraf dunia itu.
Ketiga-tiga pelumba berasa bangga dapat mewakili negara dan oleh kerana persiapan yang singkat, mereka meletakkan sasaran untuk menamatkan perlumbaan 30 minit + 2 pusingan itu kerana ianya tidak pernah dilakukan mana-mana pelumba negara sebelum ini.
“Saya teruja untuk berlumba di sana walaupun tidak pernah berlumba di litar bertaraf dunia tetapi saya yakin dengan sasaran mahu menamatkan perlumbaan 30 minit + 2 pusingan itu kerana ini kali pertama saya akan lakukannya,” kata Hakimi yang berusia 19 tahun itu.
Nada yang sama turut dikongsi oleh dua rakannya yang mahu menggunakan kejohanan ini sebagai tempat untuk meraih pengalaman kerana dapat beraksi dengan pelumba-pelumba handalan dunia.
Pengurus Pasukan ALS Motorsports, Nur Liyana Fazlien Sha’are yang bertanggungjawab mengenalpasti bakat-bakat muda ini berdasarkan keputusan perlumbaan 2022 berkata perlumbaan 30 minit ini sangat mencabar dan meletakkan sasaran agar mereka dapat memberikan saingan kepada semua pelumba.
“Perlumbaan 30 minit ini adalah sangat mencabar kerana biasanya pelumba hanya berlumba 10-15 minit sahaja dan kami juga kesuntukan masa untuk membuat persiapan kerana baru mengetahui mereka mendapat tiket wildcard kira-kira dua minggu lalu.
“Kami meletakkan sasaran agar mereka dapat memberikan saingan kepada kira-kira 30 pelumba antarabangsa dan juga pelumba Asia dalam kejohanan Motorcross terbesar dunia ini,” ujarnya kepada media.
Kesemua mereka ditemui ketika majlis penyerahan penajaan oleh FTW Sports dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairolsham Abu Bakar berkata syarikatnya berbangga untuk turut sama menyertai perlumbaan ini sebagai penaja dan berharap kesemua pelumba dapat memberikan saingan.
“Kami berbangga untuk turut sama-sama menyertai kejohanan ini secara tidak langsung sebagai penaja dan berharap semua pelumba dapat memberikan persembahan yang terbaik,” katanya yang memberikan sumbangan barangan kelengkapan kepada para pelumba.
Ini adalah kali pertama pelumba Malaysia mendapat peluang untuk beraksi di perlumbaan Motocross terbesar dunia dan ianya diharap dapat memberikan pendedahan yang baik buat para pelumba.