BEKAS pemain bola sepak negara, Norshahrul Idlan Talaha, Mahali Jasuli, dan Amri Yahya, berkongsi pengalaman manis mereka semasa bergelar pemain bola sepak profesional dalam satu sesi khas Jelajah Trofi Piala Mitsubishi Electric 2024 (Piala AFF).
Mereka membuka lembaran kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang karier mereka di pentas bola sepak tempatan dan antarabangsa.
Amri Yahya, antara pemain legenda Harimau Malaya, mengimbau saat manis semasa perlawanan persahabatan menentang kelab gergasi Inggeris, Manchester United.
“Rata-rata penyokong yang datang ke stadium ketika itu adalah penyokong Manchester United, masa tu saya dapat jaringkan gol kedua untuk pasukan negara, saya tengok penyokong semua berdiri meraikan jaringan saya itu.
“Pada ketika itu, meremang bulu roma saya melihat suasana itu dan alhamdulillah sampai sekarang perlawanan itu masih jadi tontonan sehingga kini untuk anak-anak muda,” kata Amri Yahya.
Gol tersebut kekal menjadi antara detik paling ikonik dalam sejarah bola sepak Malaysia dan terus dikenang oleh peminat-peminat sukan tanah air.
Bagi Norshahrul Idlan Talaha atau lebih mesra dikenali sebagai Matyo, pengalaman beraksi di Liga Thailand adalah salah satu pencapaian paling berharga dalam kariernya.
“Kenangan saya dapat beraksi bersama pasukan Thailand dan juga saya dapat menjadi juara liga satu Thailand itu adalah pencapaian yang saya tidak akan lupakan,” kata Matyo.
Pengalaman beraksi di liga luar negara dan mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa telah menjadikan Matyo antara pemain bola sepak Malaysia yang berjaya menonjol di pentas serantau.
Mahali Jasuli pula sempat berkongsi detik cemasnya semasa Final Piala AFF 2010, ketika Malaysia berhadapan dengan Indonesia yang pada ketika itu dia baharu berusia 21 tahun dan perasaan gementar menyelubungi dirinya semasa perlawanan tersebut.
“Pada ketika final Piala AFF 2010, saya baru sahaja berumur 21 tahun. Jujur saya katakan dengan usia begitu, sangat takut untuk saya beraksi di atas padang. Tetapi Alhamdulillah, kita berjaya menjuarai pada tahun itu,” kongsi Mahali.
Tambahnya lagi, dia juga berharap agar pemain muda masa kini tidak mudah berputus asa dalam usaha mereka untuk mencapai kejayaan sebagai pemain bola sepak.
“Harapan saya untuk pemain muda, jangan berputus asa walaupun belum berjaya main di peringkat tertinggi tapi percayalah peluang tu akan sentiasa ada, percaya pada pasukan sendiri dan juga yang paling penting sentiasa bekerja keras.”
Pada penghujung sesi, ketiga-tiga lagenda bola sepak negara itu sempat meluangkan masa bertemu peminat di Aeon Mall Shah Alam sempena Majlis Jelajah Trofi Piala AFF 2024.