TIGA beregu negara bakal turun ke gelanggang pada hari pertama acara badminton di Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula pada 27 Julai di Porte de la Chapelle Arena, Paris.
Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan turun ke gelanggang bertemu pasangan Singapura, Terry Hee dan Jessica Tan untuk perlawanan pertama Kumpulan D kira-kira jam 3.20 petang waktu Malaysia untuk membuka tirai saingan atlet badminton negara.
Pasangan nombor sembilan dunia itu perlu memastikan permulaan yang cemerlang menentang beregu nombor 18 dunia sekali gus mencerahkan peluang untuk layak ke peringkat suku akhir kategori beregu campuran.
Selepas itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah akan membuka aksi dengan berhadapan pasangan ranking nombor satu dunia dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan untuk aksi pertama Kumpulan A kira-kira jam 4.10 petang.
Ianya satu tugas yang berat buat beregu negara ini yang turut diundi bersama-sama beregu Indonesia dan Jepun bagi merebut dua tempat teratas untuk layak ke suku akhir kategori Beregu Wanita.
Turut beraksi pada jam yang sama adalah pasangan lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan berhadapan pasangan dari Great Britain Ben Lane dan Sean Vendy dalam aksi pertama Kumpulan A.
Aaron-Wooi Yik yang kini di ranking kelima dunia adalah antara harapan pingat emas pertama negara dan akan diberikan tentangan sengit oleh dua lagi pasangan dari China dan Kanada.
Peminat-peminat sukan badminton sudah pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan badminton bermutu tinggi di gelanggang yang bertemakan warna ungu.