KETIKA jendela perpindahan kedua semakin menghampiri untuk dibuka, banyak pasukan dilihat sedang melakukan perbincangan untuk membawa masuk beberapa pemain baharu untuk menambah kekuatan pasukan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Terbaharu, dua pasukan mengumumkan ketibaan pemain import terbaharu dengan yang menampilkan barisan pemain yang berkualiti dan hadir dari liga antarabangsa dengan pengalaman yang luas.

Kedah Darul Aman FC mengumumkan dua pemain import baharu dari Bahrain untuk menambah kualiti sedia ada pada skuad kendalian Nafuzi Zain bagi menghadapi baki perlawanan Liga Super dan kempen Piala Malaysia.

 

 

Salah satu nama yang diumumkan adalah pemain import berprofil tinggi dari Nigeria, Ifedayo Olusegun yang kini berstatus ejen bebas bagi menggantikan penyerang utama, Willian Lira yang dilepaskan secara persetujuan bersama.

Fraterniti bola sepak tempatan sudah pasti mengenali pemain ini yang pernah menjadi penjaring terbanyak Liga Super pada musim 2020 dan 2021 dan kehadirannya ke Darul Aman pastinya akan menambah sengat bahagian serangan Sang Kenari.

Seorang lagi pemain import yang diumumkan Kedah adalah Moses Atede Jona dari kelab Bahrain, Al-Muharraq dari Bahrain yang bakal menjana barisan tengah Kedah bagi membantu Ifedayo menggempur benteng lawan.

 

Kehadiran dua trio Nigeria yang mempunyai passport Bahrain itu dijangka akan memberikan impak kepada skuad Kedah yang kini ditangga ketiga Liga Super.

Tidak mahu ketinggalan adalah Selangor FC yang turut mengumumkan kehadiran pemain import baharu dari Ghana, Richmond Boakye – Yiadom yang bakal menggalas tugasan sebagai penyerang berpasangan dengan Ayron Del Valle.

Boakye juga adalah antara nadi utama yang membantu Red Star Belgrade mara ke pusingan peringkat kumpulan UEFA Champions League musim 2018/2019 buat pertama kali selepas 27 tahun menyertai kejohanan itu.

 

Dia yang akan menyarung jersi nombor 9 di Selangor FC dilihat sudah mula menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan pada Rabu dan akan melakukan debut sejurus jendela perpindahan kedua dibuka.

Diharap kehadiran pemain-pemain antarabangsa ini dapat membantu pasukan masing-masing untuk menjadi pencabar liga dan secara tidak langsung meningkatkan lagi nilai komersil liga yang semakin popular di kalangan pemain antarabangsa yang berkualiti.