KERANCAKAN saingan Liga Super musim 2024-25 memasuki minggu ketiga dan ianya bertambah menarik dengan tiga perlawanan derbi yang pastinya akan menjadi perhatian semua peminat bola sepak tempatan.

Tiga derbi itu, Derbi Utara antara Kedah Darul Aman FC dan Perak FC, Derbi Pantai Timur yang menemukan Terengganu FC dan Kelantan Darul Naim FC manakala Derbi Borneo pula menyaksikan Sabah FC melayan kunjungan Kuching City FC.

Tambah menarik, keenam-enam pasukan yang terlibat masih mencari rentak dalam saingan musim ini dan akan menggunakan aksi derbi ini sebagai medan kebangkitan untuk mencari mata dan mengukuhkan kedudukan dalam liga.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah Darul Aman akan sudah pasti mahu menebus kekecewaan tewas kepada Selangor FC minggu lalu dengan menjadikan Perak FC sebagai mangsa dalam perlawanan pertama mereka di hadapan penyokong sendiri.

Perak FC pula mahu keluar dari tangga terbawah liga dengan mencatatkan kemenangan sekaligus menamatkan rentetan dua kekalahan berturut-turut yang dialami The Bos Gaurus pada permulaan musim ini.

Di Gong Badak, Terengganu FC akan melayan kunjungan jiran, Kelantan Darul Naim FC yang semakin mendapat tempat di hati para penyokong di negeri Cik Siti Wan Kembang dengan skuad penyu mahu meneruskan rentak cemerlang dalam Liga Super setakat ini.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bakal jadi tuan rumah Derbi Pantai Timur

Seperti Perak, Kelantan DN juga mahu memastikan kemenangan pertama dapat dicapai selepas tewas tipis dalam dua perlawanan sebelum ini untuk memberikan keceriaan kepada para penyokong yang dijangka memenuhi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Merentasi Laut China Selatan, Derbi Borneo akan menyaksikan Skuad Badak berdepan Kuching City FC dan mahu meneruskan rentak kemenangan serta mengekalkan rekod tanpa kalah di awal musim selain kembali mahu memungut tiga mata di laman sendiri.

Kuching City pula mahu membuktikan rentak baik mereka di awal musim ini dengan dua keputusan seri menentang lawan yang lebih kuat dapat diterjemahkan kepada kemenangan dan menjadi kebanggaan buat Borneo.

Sabah FC mahu teruskan rentak cemerlang dalam Liga Super

Stadium-stadium dijangka dibanjiri penyokong kerana intensiti dan perseteruan yang hangat bakal ditampilkan kesemua pasukan dengan menjanjikan satu aksi yang menarik pada Jumaat dan Sabtu.