KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe berkongsi kepuasan selepas ketiga-tiga gol yang berjaya disumbangkan melalui set pieces membawa kemenangan 3-1 ke atas Terengganu FC pada aksi Separuh Akhir 1 Piala Malaysia, Rabu malam.
Jelasnya, kejayaan tersebut bukanlah satu kebetulan memandangkan mereka telah menjalani latihan yang jitu untuk diterjemahkan dalam 90 minit perlawanan malam ini.
“Itulah kali pertama saya merasai, tiga sepakan penjuru mampu menghasilkan tiga gol. Itu bukan datang secara nasib, kita ada buat latihan,” ujarnya pada sidang media selepas perlawanan.
Dalam pada itu, dia turut memuji kelibat arkitek tengah, Mukhairi Ajmal Mahadi yang bekerja keras dan sering melakukan hantaran tepat ke bahagian serangan pasukannya.
“Saya ada keyakinan terhadap Mukhairi Ajmal kerana dia berjaya membuat hantaran yang baik kepada penyerang untuk menjaringkan gol,” katanya.
Dengan rekod sembilan perlawanan tanpa tewas menyaksikan Cheng Hoe berada dalam kelas tersendiri setakat ini.
Jelasnya, sembilan ‘clean sheet’ yang berjaya dihasilkan itu dianggap sebagai suatu motivasi buat dirinya dalam membimbing anak buahnya untuk tampil lebih baik dalam perlawanan akan datang.
“Saya rasa itu sebagai satu motivasi kepada saya. Yang penting, saya rasa begitu gembira dengan prestasi setiap pemain yang ditunjukkan pasukan kita. Rata-rata kita lihat daripada latihan, mereka cukup komited.
“Itulah hasil daripada kerjasama, staf kejurulatihan dan para pemain. Mereka dapat mengekalkan momentum pasukan,” tambahnya.