BADAN bebas Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB) telah selesai melakukan pemeriksaan terhadap laporan kewangan fasa kedua yang diserahkan oleh semua kelab Liga Super.

Pemeriksaan serahan laporan kewangan kelab Liga Super adalah proses fasa kedua dalam pengenalan peraturan FFP dalam Liga Malaysia bermula musim 2024-2025.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini, daripada pemeriksaan dokumentasi yang diserahkan oleh kesemua kelab Liga Super, didapati bahawa 10 kelab telah berjaya menyerahkan laporan kewangan fasa kedua FFP dengan lengkap.

KDA FC antara pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji.

Bagaimanapun tiga kelab pula tidak berjaya dalam proses melengkapkan laporan kewangan itu disebabkan mempunyai tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN, Perkeso dan EIS.

“Oleh itu, sekatan perpindahan pemain sebelum jendela kedua perpindahan pemain musim 2024-2025 telah dikenakan ke atas kelab-kelab terlibat.

“Namun selepas 30 hari sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua perpindahan pemain musim 2024-2025 dikenakan kepada tiga kelab tersebut, pihak MFL FFP masih belum menerima sebarang penyelesaian terhadap tunggakan itu atau mendapat persetujuan bersama kedua-dua pihak dan menghantar bukti kepada pihak FIB FFP.

KL City FC sebelum ini didakwa gagal menjelaskan bayaran KWSP dan yang berkaitan.

“Maka pihak FIB FFP telah menjatuhkan denda dengan serta merta sebanyak RM 15,000 kepada kelab-kelab tersebut,” menurut kenyataan yang dikeluarkan MFL.

Justeru, tiga kelab berkenaan diberi tempoh sehingga 25 Oktober 2024 untuk menghantar bukti resit bayaran atau pelan pembayaran ansuran berkenaan tunggakan bayaran gaji (pemain, pengawai dan pentadbiran) dan agensi kerajaan (KWSP, LHDN, PERKESO & SIP).

Kegagalan, keengganan atau kecuaian tiga kelab itu untuk berbuat demikian seperti yang ditetapkan di atas, maka perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa FIB bagi tindakan selanjutnya.